Selangorkini
SELANGOR

Menteri Perumahan gagal jawab 3 surat Exco Perumahan Selangor

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 28 NOV : Isu perumahan terbengkalai dan masalah perumahan strata adalah isu penting yang memerlukan kerjasama antara kerajaan negeri dan pusat untuk diselesaikan.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad (PAS-Chempaka) berkata, beliau sudah menghantar tiga surat kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi menjadikan hasrat itu satu kenyataan sejak Pakatan Rakyat (PR) mula mengambil alih pentadbiran Selangor, pada 2008.

06Katanya, hasrat itu masih tidak menjadi kenyataan ekoran tidak mendapat maklum balas berhubung cadangan mengadakan kerjasama bagi kepentingan rakyat itu.

“Saya sebenarnya mengalukan perbincangan dan kerjasama kerajaan pusat dan negeri. Oleh sebab itu, saya sudah hantar dua surat kepada Menteri Perumahan yang berbeza tetapi masalahnya surat itu tiada jawapan, sejak penggal pertama pemerintahan PR di Selangor.

“Kini, penggal baru dan menteri di bawah kementerian berkenaan juga baru. Saya ada menyampaikan hasrat melalui wakil yang sentiasa mengadakan pertemuan dengan wakil Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Jadi, saya menggesa menteri baru ini supaya dapat mengadakan pertemuan antara Exco dan menteri supaya perbincangan serta kerjasama dapat dijalankan secara lebih menyeluruh,” katanya ketika ditemui Selangor Kini di lobi Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, semalam.

Iskandar berkata, antara isu yang menjadi masalah rakyat adalah projek rumah terbengkalai yang harus menjadi tanggungjawab kerajaan pusat.

“Projek perumahan terbengkalai adalah tanggungjawab kerajaan pusat tetapi negeri juga ada mengusahakan untuk menyelesaikan masalah ini seperti menyiapkan projek rumah terbengkalai di Bukit Botak.

“Lebih penting, kita harus bekerjasama dan menyumbang antara satu sama lain untuk menyelesaikan masalah ini, bukan menggunakan strategi berbeza,” katanya.

Iskandar berkata, beliau percaya pengalaman Selangor sebagai negeri yang terdapat banyak projek pembangunan berstrata mampu memberi idea berkesan bagi mengatasi isu terbabit.

Sebelum ini, masyarakat yang mendiami perumahan berstrata atau dikenali sebagai perumahan bertingkat seperti pangsapuri, kondominium dan rumah kedai yang kerap menghadapi pelbagai masalah seperti isu caj penyelenggaraan, kesukaran memperolehi geran serta kerosakan bangunan.

-NFN-


Pengarang :