Selangorkini
SELANGOR

MySikap, belanja RM200 juta tidak berbaloi

OLEH : NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR 14 NOV : Kerajaan Pusat seharusnya tidak membelanjakan dana yang besar bagi memperuntukkan sistem yang tidak efesien seperti sistem MySikap apabila kos bernilai hampir RM200 juta digunakan JPJ di seluruh negara.

rafizi TI 01Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, berkata ia kerana besar kemungkinan sistem itu akan dihentikan perlaksanaannya dan merugikan rakyat sekiranya sistem baru itu diperkenalkan bagi mengantikan sistem sedia ada.

Katanya, sudah menjadi trend, Kerajaan Pusat membelanjakan jumlah besar dalam memperkenalkan sistem baru tanpa mengambil kira pandangan pakar mahupun kakitangan.

Rafizi berkata demikian bagi mengulas tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang melaksanakan sistem baru itu bermula 1 November lalu.

Katanya, ia sepatutnya dibuat secara berperingkat dan bukan secara mendadak sehingga menyusahkan orang ramai.

Bagaimanapun, sistem terbaru itu dikatakan melambatkan operasi di JPJ antaranya pembaharuan lesen kereta dan lesen memandu menjadi lambat.

“Ini nampaknya sering terjadi dalam sistem kerajaan. Begitu juga ketika ini sistem penilaian berasaskan sekolah.

“Yang mana sistem itu dibuat tidak mengambil kira maklum balas daripada perunding dan pakar perisian, tidak juga mengambil kira padangan guru, ini juga berlaku dengan sistem MySikap.

“Oleh sebab itu, banyak sistem yang dibuat oleh Kerajaan sekarang menelan belanja yang besar, sedangkan ia tidak memudahkan orang ramai malah menyusahkan,” katanya ketika ditemui Selangor Kini di Lobi Parlimen, di sini.

Rafizi berkata, banyak sistem sebelum ini di peringkat kerajaan dibuat tanpa penilaian telus dan baik yang menyebabkan terdapat kepincangan meluas dan kos yang ditanggung mahal.

“Ia bukan masalah yang berlaku pada satu atau dua projek sahaja, setiap sistem yang dibuat ini, mahal tetapi tidak memudahkan pengguna.

“Kita minta supaya kesilapan-kesilapan itu tidak berulang,” katanya.

Jabatan Imigresen Malaysia pernah menggunakan sistem ini sebelum ini tetapi dihentikan kerana disifatkan tidak praktikal ketika berurusan dengan orang ramai.

-EZY


Pengarang :