NASIONAL

Naikkan rebat air, Johor sekadar ‘menunjuk-nunjuk’

V-GanabatirauOleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM 9 NOV : Langkah kerajaan Johor menaikkan pemberian rebat air percuma kepada pengguna di negeri itu disifatkan sekadar menunjuk-nunjuk kononnya Barisan Nasional (BN) serius dalam membantu rakyat.

Exco Selangor, V Ganabatirau berkata, kerajaan Johor mampu berbuat demikian kerana meraih sokongan dan bantuan kewangan yang kukuh daripada kerajaan pusat.

“Hanya Selangor yang serius dalam isu pemberian air percuma, bukan Johor kerana mereka ini dilihat lebih menunjuk-nunjuk.

“Kita harus ingat, kerajaan BN yang kutuk kita dulu apabila Selangor memberi air percuma, tetapi sekarang mereka mencontohi kita pula,” katanya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada portal Selangor Kini, di sini, semalam.

Semalam, kerajaan Johor mengumumkan untuk menaikkan pemberian rebat air daripada 20 meter padu kepada 35 meter padu dalam usaha meringankan beban golongan miskin dan miskin tegarnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata selain itu kerajaan negeri juga akan memastikan menjelang 2017 semua penduduk Johor akan menikmati bekalan air bersih.

Pelaksanaan itu bukan sahaja tertumpu kepada akses bekalan air tetapi juga merangkumi kualiti serta tahap perkhidmatan setanding dengan negara maju.

-NFN-


Pengarang :