Selangorkini
SELANGOR

Nelayan bantah Kerajaan Pusat kurang subsidi diesel

fish Malaysia

KUALA LUMPUR 6 NOV : Kira-kira 50 orang nelayan hari ini mengadakan perhimpunan secara aman di luar bangunan Parlimen pagi tadi bagi menbantah tindakan Kerajaan Pusat mengurangkan subsidi minyak diesel.

Mereka turut meminta kerajaan untuk mengkaji semula penggunaan saiz mata 38 milimeter (mm) keroncong pukat tunda.

Wakil nelayan, Cheah Swee Teck, berkata bot laut dalam Zon C2 iaitu perairan sehingga 30 batu nautika dari tanah besar kini dicas RM 2.00 manakala Zon A, B dan C pula meningkat dari RM 1.25 kepada RM 1.45.

“Tindakan kurangkan subsidi membebankan golongan nelayan seluruh negara.

“Penggunaan pukat 38mm pula menjejaskan hasil tangkapan nelayan, contohnya nelayan di Hilir Perak yang banyak terjejas kerana pukat 38mm tidak sesuai dengan tangkapan udang di sana,” ujar Swee Teck.

Menurut beliau, cubaan mengadakan rundingan dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Ismail Sabri sehingga kini tidak diendahkan.

“Begitu juga dengan cadangan berkenaan mata saiz pukat, pihak kerajaan tidak memberikan maklum balas.

“Jadi kami mengambil keputusan menghantar memorandum bantahan pada hari ini untuk diserahkan kepada Ismail Sabri,” kata beliau.

Perhimpunan aman itu turut disertai kumpulan nelayan dari Selangor, Johor, Perak dan Pahang itu berlangsung selama kira-kira 30 minit.

Turut menyertai demonstrasi tersebut ialah Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran.


Pengarang :