Selangorkini
NASIONAL

Nurul Izzah : Kenapa perlu ada 30 polis cawangan khas di London ?

Oleh : Selangor Kini

SHAH ALAM 12 NOV : Nurul Izzah Anwar mempersoalkan tindakan Kerajaan BN menempatkan 30 anggota polis cawangan khas di London, England.

Nurul-IzzahAhli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, kos menempatkan kontinjen tersebut di London dibiayai oleh dana awam sedangkan setahu beliau, tiada ancaman keselamatan dalaman pada Malaysia yang berasal dari negara Eropah itu.

“Bukankah lebih baik sekiranya anggota-anggota cawangan khas tersebut digunakan untuk membuat rondaan di kawasan perumahan di Malaysia,” kata Nurul Izzah.

Beliau berkata demikian ketika berucap di satu forum mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di Bangsar, Kuala Lumpur malam tadi di petik dari The Malaysian Insider.

Katanya, beliau mendapat tahu tentang saiz kontinjen di London itu selepas meneliti laporan Rancangan Malaysia ke-10, laporan bajet tahunan dan jawapan soalan kepada Kementerian Dalam Negeri di dalam Dewan Rakyat.

Nurul Izzah berkata, kontijen London itu merupakan satu lagi contoh pentadbiran Barisan Nasional gagal menggunakan sumber manusia pasukan keselamatan secara efektif bagi menangani jenayah.

Ini kerana, katanya, tugas utama polis yang ditempatkan dalam cawangan khas adalah untuk melakukan intipan terhadap ahli politik Pakatan Rakyat (PR).

“Pada 1954, untuk memerangi Komunis, kita ada 459 polis cawangan khas. Sekarang kita ada 8,200 anggota cawangan khas. Maksudnya kita ada lebih ramai polis cawangan khas sekarang berbanding zaman darurat.

“Jumlah anggota cawagan khas juga bertambah semasa Najib jadi Perdana Menteri. Pada 2008 kita mempunyai 5,000 anggota cawangan khas. Jumlah itu bertambah sebanyak 3,000 semasa pentadbiran Najib,” kata Nurul Izzah.

Beliau berkata, kes jenayah yang bertambah dapat diselesaikan sekiranya anggota cawangan khas ditukarkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (CID).

Katanya, tahun lalu, cawangan khas menghasilkan 830,000 laporan intipan dan kebanyakannya tentang ahli politik PR, berbanding dengan CID yang menyelesaikan 60,000 kes jenayah.

“Mengapa mereka tidak boleh diletakkan ke dalam CID supaya kita boleh meningkatkan kadar siasatan jenayah,” kata Nurul Izzah.

EZY


Pengarang :