Selangorkini
BERITA UTAMA

Parlimen Malaysia terpalit noda – Lim Kit Siang

Oleh : Lim Kit Siang

Dua kejadian di Dewan Rakyat pada hari Khamis, 14 November 2013, yang lalu membuatkan Parlimen Malaysia terpalit noda – semuanya kerana Ahli Parlimen Barisan Nasional.

Kejadian pertama berlaku dalam sesi pagi apabila Barisan Nasional dengan tidak mempedulikan Peraturan Mesyuarat dan kelaziman telah menggunakan kelebihan kerusinya di Parlimen untuk meluluskan usul luar biasa, tidak wajar, dan “haram” untuk menggantung Ahli Parlimen Padang Serai N. Surendran selama enam bulan kerana memperjuangkan kuil Sri Muneswarar Kaliyamman di Kuala Lumpur yang telah berusia 101 tahun.

Usul untuk menggantung Surendran itu melanggar Peraturan Mesyuarat dan kelaziman Parlimen sekurang-kurangnya menurut empat asas.

Peraturan Mesyuarat 27 (3) menyebut: “Kecuali sebagaimana yang disyaratkan dalam Peraturan Mesyuarat 43 dan perenggan (5) dalam Peraturan Mesyuarat 86 dan 26(1), apa-apa usul hendaklah dikeluarkan pemberitahu tidak kurang daripada empat belas hari terlebih dahulu tetapi jika usul itu dengan nama Menteri.

Maka memadailah dengan dikeluarkan pemberitahu tujuh hari sahaja terlebih dahulu, dan pula jika Tuan Yang di-Pertua puas hati setelah diterangkan kepadanya oleh seseorang Menteri iaitu bagi faedah orang ramai sesuatu usul itu mustahak dibahaskan dengan seberapa segeranya maka memadailah dikeluarkan pemberitahu itu satu hari sahaja terlebih dahulu.”

Memandangkan kekecualian yang disebutkan dalam Peraturan Mesyuarat 43, 86, dan 26 terpakai untuk kes ini, usul menteri untuk menggantung Surendran memerlukan “tujuh hari sahaja terlebih dahulu, dan pula jika Tuan Yang di-Pertua puas hati setelah diterangkan kepadanya oleh seseorang Menteri iaitu bagi faedah orang ramai sesuatu usul itu mustahak dibahaskan dengan seberapa segeranya maka memadailah dikeluarkan pemberitahu itu satu hari sahaja terlebih dahulu.”

Penggantungan Surendran selama enam bulan itu bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat dan kelaziman parlimen menurut empat asas berikut:

1. Ia tidak mematuhi peraturan yang menetapkan “pemberitahu satu hari” untuk usul menteri, kerana jika “satu hari” ditafsirkan sebagai “24 jam” maka usul terbabit hanya boleh dibahaskan selepas jam 6 petang hari Khamis, memandangkan notis telah diberikan kepada Ahli-ahli Parlimen selepas jam 6 petang hari Rabu.

2. Tiada “kepentingan umum” yang mengharuskan usul itu dibahaskan selepas notis satu hari diberikan dan bukannya selepas notis tujuh hari. Malah, sehingga sekarang tiada menteri mampu menjelaskan “faedah orang ramai” yang bagaimana memestikan perbahasan dan keputusan dibuat dengan segera tanpa mematuhi peraturan berkenaan “pemberitahu tujuh hari” – apatahlagi untuk memutuskannya tanpa mematuhi notis satu hari.

3. Pertembungan kepentingan yang jelas kerana Tuan Yang di Pertua yang telah membenarkan usul menteri berkenaan dibahaskan tanpa notis tujuh hari terbabit dalam persoalan yang dipertikaikan, memandangkan usul tersebut mendakwa Surendran “menghina” Speaker.

4. Prosedur yang sepatutnya diikuti dalam kes ini ialah merujuk Surendran kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan kerana ia membabitkan “kuasa serta hak dan keistimewaan Dewan”, dan Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan perlu menyiasat dan mengemukakan laporan kepada Dewan berkenaan dakwaan yang dibuat terhadap Surendran.

Kenyataan oleh Pengerusi bahawa mana-mana Ahli Parlimen yang tidak berpuas hati dengan perintah Speaker boleh menggunakan Peraturan Mesyuarat 43 untuk mengusulkan supaya keputusan terbabit disemak semula menerusi notis tidak lebih dua hari sama sekali tidak bermakna kerana dalam sejarah Parlimen Malaysia usul sedemikian tidak pernah dibenarkan untuk dibahaskan dalam Dewan. Peraturan tersebut tidak lebih seperti “abjad-abjad mati” yang tidak lagi diamalkan.

Kerana itulah tiada seorang pun Ahli Parlimen Pakatan Rakyat peduli untuk memanfaatkan Peraturan Mesyuarat 43 ketika di waktu pagi hari berkenaan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia secara tidak benar telah mengarahkan Surendran untuk keluar dari Dewan atas alasan beliau masih digantung.

Ini bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat 44 (2) yang dengan jelas menyebut bahawa apabila Speaker belum menentukan tempoh penggantungan seseorang Ahli Parlimen, “tempoh tersebut hendaklah disifatkan sebagai selama dua hari termasuk hari kejadian berkenaan.”

Penggantungan Surendran dibuat pada pagi Selasa, 12 November 2013, dan Speaker tidak menyebut tempoh penggantungan, maka tempoh penggantungannya adalah selama dua hari bermula pada hari Selasa – iaitu “hari kejadian berkenaan” – dan Rabu serta tidak lagi berkuatkuasa pada hari Khamis itu! Bermakna, tindakan Speaker mengusir Surendran keluar dewan pada pagi Khamis itu adalah salah dan bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat.

Sebuah akhbar (New Straits Times) mendakwa Ahli Parlimen DAP/PR bagi Puchong, Gobind Singh Deo, dan saya telah menghalau Pandikar Amin dari Dewan kerana kami telah turut menuntut penjelasan atas tindakan mengarahkan Surendran keluar dari Dewan pada pagi itu.

Laporan itu sama sekali tidak berasas dan tidak lebih daripada khayalan wartawan terbabit, dan ia menunjukkan betapa rendahnya piawaian profesional dalam negara ini dalam pelbagai bidang kerjaya – termasuk media massa – walaupun telah lebih setengah kurun negara kita merdeka.

Saya bersama-sama beberapa pemimpin PR yang lain – termasuk Azmin Ali (PKR/PR Gombak) dan Mahfuz Omar (PAS/PR Pokok Sena) telah menyarankan kepada Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee agar menangguhkan persidangan untuk membolehkan kedua-dua pihak mencari penyelesaian yang saksama bagi merungkai kebuntuan dan mententeramkan Dewan, sama ada dalam bentuk pemberian notis tujuh hari untuk usul terbabit, atau merujuk Surendran kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan, atau membenarkan usul menurut Peraturan Mesyuarat 43 untuk menyemak semula keputusan Pengerusi dibahaskan .

Tetapi berlawanan dengan kelaziman parlimen, Timbalan Speaker telah enggan menangguhkan persidangan untuk memberikan “tempoh bertenang” bagi membolehkan kesepakatan dibuat oleh kedua-dua pihak dalam Dewan bagi mengatasi kebuntuan.

Sebaliknya Dewan dan negara telah disajikan dengan adegan lawak jenaka apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukry telah membacakan ucapan usul terbabit walaupun tiada siapa dapat mendengar walau pun sepatah kata daripada beliau, memandangkan ucapannya telah tenggelam sepenuhnya dalam kegamatan Dewan.

Adegan itu disambung dengan sesi undian yang juga merupakan lawak jenaka kerana tiada Ahli Parlimen, sama ada dari BN atau PR, dapat mendengar apa yang telah diusulkan oleh menteri itu.

Kerana itulah Ahli-ahli Parlimen PR enggan mengambil bahagian dalam pengundian, kerana bagi mereka usul tersebut bukan saja luar biasa dan tidak wajar, malah ia juga adalah “usul haram”.

Dalam keadaan keadilan telah dinafikan serta prosedur dan kelaziman parlimen telah diabaikan inilah beberapa Ahli Parlimen PR telah melepaskan rasa marah dan kecewa mereka secara beremosi dengan mengoyakkan kertas usul berwarna hijau itu.

Pimpinan PR di Parlimen tidak menyetujui tindakan mengoyak kertas usul itu kerana ia berlaku secara mendadak justeru Ahli-ahli Parlimen PR merasa kecewa apabila keadilan dinafikan serta peraturan mesyuarat dan kelaziman parlimen pula diabaikan dalam meluluskan usul untuk menggantung Surendran selama enam bulan. Cara penggantungan ini dibuat menjadikan Parlimen Malaysia sebagai mahkamah kanggaru dan bahan jenaka dunia.

Kejadian kedua yang memalit noda pada Parlimen Malaysia berlaku pada tengahari Khamis apabila persidangan parlimen disabotaj menerusi tindakan membalas dendam berikutan apa yang terjadi di pagi itu. Tindakan balas ini tiada kena mengena dengan keadilan, integriti prosedur parlimen atau hak rakyat.

Ahli-ahli Parlimen BN, diketuai oleh Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Mokhtar Radin, telah menjalankan konspirasi untuk menimbulkan kekecohan, membawa kepada perbuatan mengoyak usul Ahli Parlimen PKR/PR Kuantan Fuziah Salleh untuk memotong gaji lima penasihat khas Jabatan Perdana Menteri, iaitu Rais Yatim, Noh Omar, Shahrizat Abdul Jalil, Johari Baharom, dan Hasbi Habibollah, kerana mereka mendakwa usul beliau adalah “usul haram” berikutan satu kesilapan fakta dalam ucapan beliau.

Jika Ahli Parlimen BN menganggap usul Fuziah adalah “usul haram”, mereka sepatutnya mencontohi tindakan Ahli-ahli Parlimen PR di sebelah pagi yang telah menolak untuk mengambil bahagian dalam pengundian – dan membenarkan Ahli-ahli Parlimen PR menyokong usul itu.

Tetapi tujuan mereka berlainan, iaitu untuk mensabotaj persidangan parlimen dengan tidak membenarkan usul Fuziah dibahaskan.

Atas sebab itulah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim selepas waktu makan tengahari telah mengemukakan usul supaya Dewan bersurai lebih awal, iaitu sebaik saja usul Fuziah diketepikan, dan bukannya pada jam 5.30 petang seperti kebiasaan – ini adalah bukti jelas bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu telah mengetahui dan membenarkan tindakan sabotaj ke atas usul Fuziah.

Dua kejadian yang berpunca daripada Ahli-ahli Parlimen BN dalam Parlimen Malaysia ini menunjukkan sikap kebudak-budakan mereka yang sanggup mengambil tindakan kasar untuk membalas dendam terhadap Ahli-ahli Parlimen PR tanpa mempedulikan soal salah atau benar sesuatu isu dan tanpa memikirkan kepentingan rakyat dan negara.

Jelas bahawa ini bukan langkah ke arah membentuk sebuah Parlimen bertaraf dunia!

* Lim Kit Siang adalah Ketua Parlimen DAP dan Ahli Parlimen Gelang Patah


Pengarang :