Selangorkini
NASIONAL

PAS beri tempoh sehari The Star tarik balik kenyataan

Oleh : Afeeqa Afeera

KUALA LUMPUR, 12 NOV : PAS memberi tempoh sehari kepada akhbar milik MCA, The Star untuk menarik semula kenyataan yang mengaitkan Allahyarham Ibrahim Libya dengan ajaran sesat dan menggelarnya sebagai pengganas.

nasruddin tantawiCalon Anggota Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi, berkata kenyataan yang disiarkan akhbar berbahasa Inggeris itu mencemar nama baik Ibrahim yang pernah bersama PAS sebelum ini.

Katanya, akhbar itu juga perlu mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga allahyarham.

“Jika The Star enggan mohon maaf, kami akan ambil tindakan undang-undang ke atas mereka.

“Kami memberi tempoh tiga hari untuk membuat permohonan maaf kepada keluarga allahyarham dan tempoh sehari untuk menarik balik kenyataan itu,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Katanya, tuduhan itu disifatkan melampau apabila Ibrahim disahkan sebagai syahid oleh bekas Ahli Majlis Fatwa Kedah, Yahya Junid pada ketika itu.

Laporan The Star hari ini bertajuk “Major Cases Involving Violant Deviant Groups in Malaysia” menamakan Ibrahim sebagai pengganas dan mengamalkan ajaran sesat berbahaya.

Pada 19 November 1985, Ibrahim dan 13 pengikutnya terkorban di Kampung Memali di Baling, Kedah dalam satu pertempuran dengan pasukan polis selepas Ibrahim enggan menyerah diri untuk ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

-EZY


Pengarang :