Selangorkini
SELANGOR

PDRM disaran tambah baik sistem sedia ada

polis bantuan

SHAH ALAM 2 NOV : Polis Diraja Malaysia (PDRM) disarankan untuk menambah baik sistem sedia ada dalam usaha membendung kejadian jenayah yang semakin berleluasa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi saranan itu, selain meminta semakan dilakukan ke atas semua pengawal keselamatan.

Penganalisis Jenayah, Datuk Akhbar Satar, berkata beliau menyambut baik saranan Khalid itu, namun perlus dilakukan secara menyeluruh, ketara dan lebih ketat.

“Selain itu, polis juga perlu memastikan bsetiap anggota diberi latihan mencukupi, selain lengkap dengan peralatan dan keperluan lain seperti senjata dan logistik. Jika kriteria ini dipenuhi, angka jenayah mungkin akan surut,” katanya ketika dihubungi TV Selangor, di sini, semalam.

Kelmarin, Khalid berkata, PDRM akan melakukan semakan segera ke atas semua pengawal keselamatan, selain memeriksa lesen senjata api mereka sebagai langkah jangka pendek untuk membendung pemalsuan identiti.

Katanya, PDRM juga merangka pelan jangka panjang dalam meluluskan pemberian lesen senjata api kepada pengawal keselamatan termasuk mengetatkan beberapa syarat memperbaharui lesen dan langkah itu diambil khususnya bagi mengelak kejadian pegawai bank ditembak dalam satu kejadian rompakan daripada berulang.

Dalam kejadian itu, Norazita Abu Talib, 37, maut ditembak di kepala dari jarak dekat oleh pengawal keselamatan, dipercayai warga Indonesia yang menggunakan kad pengenalan palsu, di USJ Sentral, Subang Jaya, di sini, jam 6.20 petang, pada 23 Oktober lalu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damansara Utama, Yeo Bee Yin, berkata penstrukturan semula anggota polis perlu dilakukan jika statistik jenayah ingin diturunkan.

“Dalam keadaan jenayah yang semakin menggila, sudah tiba masanya kerajaan melakukan perubahan dalam pembahagian tugas dengan melebihkan anggota polis bagi kerja pembanterasan jenayah.

“Buat masa ini, hanya berapa peratus sahaja anggota polis ditugaskan mengawal jenayah sementara kebanyakan yang lain ditugaskan melakukan kerja lain,” katanya.

-NFN-


Pengarang :