NASIONAL

Pemberian Mykad palsu gugat keselamatan rakyat

20130623_PKR_Padang_Serai_N_SurendranOleh : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 NOV – Pemberian kad pengenalan (Mykad) palsu jelas menggugat keselamatan rakyat Malaysia apabila kes jenayah membabitkan senjata api semakin meningkat.

Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran, berkata jenayah itu adalah antara siri kegagalan kerajaan pusat dalam memastikan jaminan keselamatan Mykad yang dikatakan antara tercanggih dan tidak boleh ditiru sudah mampu diklonkan.

Hal itu terbukti apabila ramai warga asing yang bekerja sebagai pengawal keselamatan memiliki Mykad yang mempunyai ciri hampir sama seperti kad pengenalan rakyat tempatan dan ada di kalangan mereka diberi lesen menggunakan senjata api ketika bertugas.

“Pemeriksaan yang tidak teliti adalah antara kecuaian hingga mengakibatkan syarikat kawalan keselamatan mengambil pekerja yang mempunyai kad pengenalan palsu. Apakah ini satu lagi bentuk kronisme apabila ada pihak tertentu dalam syarikat ini diberikan lesen sewenang-wenangnya.

“Kita tahu ada syarikat yang mempunyai kaitan dengan bekas Ketua Polis Negara dan kerajaan perlu mengambil tindakan segera dan jelaskan kepada rakyat,” katanya kepada Selangor Kini.

Beberapa siri jenayah yang membabitkan pengawal keselamatan sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa dan harta benda perlu dipandang serius kerana terdapat pemalsuan Mykad yang berjaya dibongkar ekoran kejadian terbabit.

Hal itu turut diperkukuhkan dengan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang memaklumkan terdapat lima syarikat pengawal keselamatan disiasat kerana dipercayai melanggar syarat pengurusan lesen senjata api hasil siasatan rambang Polis Diraja Malaysia (PDRM), sejak dua minggu lalu.

Sehubungan itu, Surendran berkata, masih terdapat rakyat Malaysia belum memiliki Mykad biru khususnya kaum India dan penduduk Sabah Sarawak, namun warga asing yang masuk ke Malaysia berjaya memperolehnya walaupun secara palsu.

“Itu yang menjadi ironis. Rakyat sendiri terutama kaum India dan Sabah Sarawak tidak diberikan kad pengenalan biru.

“Orang tidak berhak memiliki Mykad palsu. Itu menunjukkan kerajaan tidak efisyen, tidak bertanggungjawab dan prihatin dengan masalah rakyat,” katanya.

-NFN-


Pengarang :