NASIONAL

Nurul Izzah ajak rakyat bantah kenaikan 300% cukai taksiran DBKL

Oleh : SIRAJ MOHD ZAINI

KUALA LUMPUR 18 NOV : Satu petisyen akan diedarkan kepada seluruh penduduk Kuala Lumpur bagi membantah kenaikan cukai sebanyak 100 hingga 300 peratus yang dikenakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, berkata kenaikan cukai taksiran hanya menambahkan derita rakyat yang kini berdepan dengan kos sara hidup semakin tinggi.

Katanya, walaupun DBKL tidak pernah menaikkan cukai taksiran sejak 21 tahun lalu, namun kenaikan secara mendadak itu tidak masuk akal.

nurul izzah parlimen 11.10.2012 01“Alasan yang diberikan adalah nilai hartanah perlu diberikan nilai baru, namun ia tidak boleh diterima.

“Rakyat kini berdepan dengan kenaikan harga minyak, gula dan akan menghadapi cukai GST. DBKL tidak boleh menaikkan cukai 100 hingga 300 peratus, walaupun sudah 21 tahun tidak pernah dinaikkan,” katanya kepada media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Katanya, DBKL didakwa gagal menunjukkan jumlah perbelanjaan yang digunakan bagi tujuan pembangunan infrastruktur di dalam laman sesawang rasminya.

“Semua pembayar cukai perlu tahu mana perginya wang yang dibayar, tetapi DBKL gagal menunjukkannya,” katanya.

Nurul Izzah berkata, beliau sudah mengadakan perjumpaan bersama Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan diberitahu bahawa kadar baru cukai taksiran itu tetap akan dilaksanakan, pada 7 Disember ini.

Katanya, kerajaan pusat harus mengkaji dengan lebih teliti dan mendengar maklum balas rakyat sebelum mengeluarkan sesuatu arahan.

Sehubungan itu, beliau menyeru penduduk sama ada menyewa atau mempunyai rumah di Kuala Lumpur supaya memfailkan petisyen supaya DBKL menimbang semula perkara kenaikan itu.

“Dua bulan sahaja notis yang diberikan dan ia memang menekan rakyat. Saya menyeru semua penduduk menghantar petisyen yang dialamatkan kepada Pengarah Penilaian, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta DBKL,” katanya.

-NFN-


Pengarang :