Selangorkini
SELANGOR

Pengecualian GST perlu diperluas kepada pengangkutan awam, barangan asas

GST Grafik Baru

SHAH ALAM 4 NOV: Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) berharap agar Kerajaan Pusat memperluaskan senarai pengecualian cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada semua jenis perkhidmatan dan barangan asas penduduk negara ini.

Naib Presidennya Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pengecualian itu diperlukan supaya memastikan bebanan yang ditanggung rakyat kebanyakkkan akibat GST dapat diringankan.

“Kalau GST terpaksa dilaksanakan, pengecualian GST harus diberikan kepada semua jenis perkhidmatan yang melibatkan perkara asas kepada rakyat seperti pengangkutan awam, kesihatan ,perkhidmatan dan barangan keperluan asas rakyat,” kata Syed Ibrahim ketika dihubungi TVSelangor.

Syed Noh berkata lagi, kerajaan seharusnya memastikan tiada ketirisan, pembaziran dana awam dan mengurangkan isi rumah keluarga terlebih terdahulu sebelum boleh mengenakan GST kepada rakyat terbanyak.

“Perlaksanaan GST sepatutnya adalah pilihan terakhir selepas segala ketirisan dan pembaziran dapat dikawal.

“Begitu juga dengan hutang isi rumah sepatutnya berjaya diturunkan terlebih dahulu, pendapatan rakyat khususnya golongan rendah sederahana ditingkatkan di mana jika dilaksanakan sekarang tidak adil kepada mereka,” kata Syed Ibrahim lagi.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, kos perkhidmatan kesihatan di negara ini tidak akan meningkat dengan pelaksanaan GST.

Bagaimanapun kenyataan beliau menimbulkan keraguan disebabkan peningkatan kos pengangkutan dan pembungkusan dijangka memberi kesan kepada industri perkhidmatan dan barangan kesihatan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan Umno-BN perlu menangani isu rasuah, pembaziran melampau wang rakyat dan memperbaiki kualiti taraf hidup rakyat sebelum melaksanakan GST.

-EZY


Pengarang :