Selangorkini
SELANGOR

Guna pukat keroncong 38mm pelihara sumber perikanan negara

nelayan

 

Oleh : SIRAJ MOHD ZAINI

PELABUHAN KLANG 13 NOV – Pelaksanaan peraturan saiz mata keroncong pukat tunda 38 milimeter (mm) tetap akan diteruskan kerajaan kerana bertujuan mengurangkan tekanan terhadap sumber perikanan Malaysia.

Pengarah Perikanan Negeri Selangor, Mohd Suffian Sulaiman berkata penggunaan mata keroncong itu baik untuk memelihara sumber perikanan, selain tidak akan menjejaskan pendapatan nelayan bot pukat tunda daripada segi nilai ikan komersial.

Katanya, penggunaan pukat tunda secara dasarnya adalah tidak mesra alam kerana jika tiada kawalan khusus, pukat berkenaan boleh mengancam sumber perikanan marin, menjejaskan sumber pendapatan nelayan tradisi dan memusnahkan habitat marin termasuk batu karang.

“Pelaksanaan penggunaan mata keroncong 38mm untuk pukat tunda ini juga mengambil kira teguran alam sekitar oleh Jabatan Audit Negara yang menekankan perkara ini kerana peraturannya diluluskan untuk dikuatkuasa, sejak 1982.

“Peraturan ini juga dicetak dalam buku lesen setiap pemilik bot pukat tunda di bawah perkara lapan (saiz mata pukat), jadi tidak timbul mengapa nelayan pukat tunda tidak faham berkenaan perkara ini dan mahu kerajaan membatalkan syarat yang ditetapkan,” katanya.

Mohd Suffian berkata demikian pada satu sidang media yang turut dihadiri kira-kira 40 Ketua Komuniti Nelayan di Selangor serta wakil persatuan nelayan di Pejabat Perikanan Daerah Klang, dekat sini, hari ini.

Sebelum ini, kira-kira 500 pemilik bot dan nelayan di seluruh Selangor melancarkan protes untuk tidak turun ke laut sebagai bantahan terhadap penguatkuasaan baru yang dikenakan ke atas mereka, sejak 1 November lalu.

Mohd Suffian berkata, perjumpaan bersama pemilik bot dan nelayan di Sekinchan mendapat reaksi positif berbanding sebelum ini kerana kebanyakan mereka sudah mula menukar pukat kepada saiz yang ditetapkan.

Katanya, kajian yang dibuat Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) di Batu Maung, Pulau Pinang pada 1997 dan panel bebas pada 2007 menunjukkan penggunaan saiz mata keroncong 38mm itu tidak mengurangkan berat tangkapan ikan komersial.

“Peratusan komposisi ikan baja juga adalah lebih rendah iaitu kira-kira 25 peratus dan nilai tangkapan ikan komersial juga tidak berubah. Terdapat beberapa negara luar yang sudah mengharamkan penggunaan pukat tunda di perairan negara mereka iaitu Indonesia, Jepun dan Hongkong,” katanya.

-NFN-


Pengarang :