SELANGOR

Perbandingan tidak tepat, MB saran semak ‘betul-betul’ gaji PM

Oleh Afeeqa Afeera

SHAH ALAM 28 NOV: Kadar gaji Perdana Menteri yang digambarkan media pro-Umno kononnya lebih rendah daripada gaji Menteri Besar, Exco dan Adun, tidak tepat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, menyarankan semua pihak supaya membuat semakan terperinci terhadap gaji bulanan Perdana Menteri sebelum membuat perbandingan.

“Semak betul-betul, Perdana Menteri dapat gaji jauh lebih tinggi daripada ini. Boleh jadi gaji beliau (Perdana Menteri) sama seperti pendapatan saya dulu (dua kali ganda) sebelum menjadi Menteri Besar,” katanya.

DNSBercakap kepada pemberita di lobi Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini, Abdul Khalid berkata, kenaikan itu munasabah kerana menggunakan sistem gaji pemimpin negeri di Sarawak sebagai petunjuk.

Meskipun ramai mempertikaikannya, beliau berkata, kadar kenaikan berkenaan sebenarnya jauh lebih rendah daripada pekerja dalam sektor swasta.

“Pendapatan itu sesuai untuk wakil rakyat dan exco kerana tidak perlu mencari duit dari luar, seperti yang dilakukan menteri dalam Kerajaan Pusat untuk membiayai kerja mereka.

“Memang biasalah kalau kenaikan gaji itu berlaku, sebab itu kita buat secara terbuka.

“Semasa mereka (Sarawak) bentangkan dan luluskan (kenaikan gaji), tiada surat khabar yang cerita, tetapi bila Selangor buat disebabkan ia negeri Pakatan Rakyat (PR) barulah ada cerita,” katanya.

Sidang DNS semalam meluluskan kenaikan gaji untuk kesemua 56 ahli DUN berkuatkuasa 1 Januari depan yang kali terakhir dibuat pada 2004.


Pengarang :