SELANGOR

Permohonan tanah rumah ibadat selain Islam tertakluk bawah Kanun Tanah Negara

Oleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM, 22 NOV : Kelulusan permohonan tanah untuk pembinaan rumah ibadat selain Islam di Selangor diberi secara pewartaan seperti yang tertakluk di dalam Kanun Tanah Negara.

V-GanabatirauManakala prosedur pemilihan tanah untuk mendirikan rumah ibadat selain Islam di negeri ini pula dibuat berdasarkan Manual Garis Panduan Piawaian Perancangan Negeri Selangor, kata Exco Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, V Ganapathi Rao.

Antara prosedur itu katanya, rumah ibadat itu hendaklah didirikan di tengah-tengah kelompok masyarakat berkenaan, pembangunan di premis kedai atau kediaman tidak dibenarkan kecuali terbukti tiada tanah atau kawasan yang sesuai untuk tujuan itu dan tidak menimbulkan kacau ganggu kepada penghuni sekitar.

“Rumah ibadat selain Islam itu juga tidak dibenarkan dibina di kawasan lapang dan tidak boleh ditempatkan di sekeliling loji kumbahan atau pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Selain itu, Garis Panduan Hal Ehwal selain Islam turut menetapkan bahawa keluasan tanah rumah ibadat selain Islam sama ada disediakan oleh kerajaan atau pemaju tidak boleh melebihi 10,000 kaki persegi.

“Walaubagaimanapun, Jawatankuasa Hal Ehwal selain Islam boleh mempertimbangkan keluasan melebihi 10,000 kaki persegi berdasarkan kes-kes tertentu,” katanya semasa menjawab pertanyaan lisan daripada Haniza Talha (PKR-Taman Medan) berhubung garis panduan bagi memilih tapak untuk pembinaan rumah ibadat selain Islam dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Katanya, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan membuat pemantauan secara berkala di tapak pembinaan rumah ibadat bukan Islam untuk memastikan syarat-syarat kelulusan sentiasa dipatuhi.

Antara syarat itu adalah memastikan ketinggian bangunan tidak melebihi 50 kaki, anjakan bangunan, penyediaan kemudahan tempat letak kereta dan sebagainya.

“Sekiranya binaan tidak menepati pelan, pihak PBT akan memberi notis di bawah Seksyen 70(13)(d) Akta Jalan ,Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) dalam tempoh 14 hari.

“Ia untuk mengemukakan pelan pindaan atau merobohkan bahagian yang tidak menepati syarat, dan jika gagal mematuhi notis tersebut, PBT akan mengeluarkan kompaun di bawah Seksyen 70 (13)(d) akta yang sama bernilai RM25,000,” katanya.

-EZY


Pengarang :