Selangorkini
SELANGOR

RM1 juta untuk rumah mampu milik, RM34 juta pendidikan

Oleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM 19 NOV : Belanjawan Selangor 2014 memperuntukkan RM1 juta untuk melaksanakan dasar Perumahan Mampu Milik Berkualiti bagi memastikan rakyat negeri itu memiliki kediaman pada harga berpatutan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta turut diberikan bagi pelaksanaan projek Perumahan Rakyat, manakala RM2.4 juta untuk penyelenggaraan atau membaik pulih rumah awam kos rendah.

khalid songkok dun-2Katanya, peruntukan itu tidak termasuk peruntukan khas RM100 juta untuk pembinaan rumah mampu milik yang menggunakan dana rizab negeri.

“Usaha ini adalah bagi memastikan tiada rakyat Selangor yang ketinggalan dalam arus kemajuan pesat hingga terpaksa hidup merempat dan bergelandangan.

“Kerajaan negeri sangat serius dalam memastikan wujudnya tempat kediaman pada harga dan kadar sewa berpatutan seperti yang terkandung dalam manifesto ‘Meneruskan Kecemerlangan’,” katanya dalam pembentangan belanjawan negeri 2014 di Dewan Negeri, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, sejumlah RM34 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi aspek pembangunan pendidikan, modal insan dan pusat latihan.

Abdul Khalid berkata, perbelanjaan pembangunan pendidikan merangkumi RM16 juta sebagai bantuan kepada sekolah agama, Cina dan Tamil, RM5 juta bagi program pendidikan secara umum, program Pendidikan Tinggi dan Kemahiran Teknikal (RM2 juta) dan Tabung Pendidikan Anak-Anak Pekerja Ladang (RM1 juta).

“Peruntukan ini belum diambil kira RM50 juta yang diperuntukkan daripada rizab negeri bagi tahun 2014 untuk membina beberapa buah bangunan sekolah,” katanya.

-NFN-


Pengarang :