Perutusan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sempena Maal Hijrah 1435 | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Saiful Asraf

Perutusan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sempena Maal Hijrah 1435

mb maalhijrah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Muslimin dan Muslimat yang Dikasihi Allah;


Kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahuwataala kerana dengan izin dan rahmat-Nya, pada tahun ini kita sekali lagi dapat menyambut awal Muharam sebagai permulaan tahun Hijrah 1435. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhmmad Sallallahualaihiwasallam, keluarga dan sahabat baginda kesemuanya.

Hijrah adalah perkataan dalam bahasa Arab, yang bererti “berpindah, meninggalkan, berpaling dan tidak memperdulikan lagi.” Dalam konteks seterusnya, hijrah membawa beberapa pengertian, iaitu kaum muslimin meninggalkan negeri asalnya yang berada di bawah pemerintah yang kafir; menjauhkan diri daripada dosa, dan permulaan tarikh Islam.

Hijrah dalam sejarah Islam lazimnya dikaitkan dengan saat perpindahan Nabi Muhammad Sallallahualaihiwasallam dari Kota Mekah Al-Mukarramah ke Madinah Al-Munawwarah sebaik-baik mendapat perintah Allah Subhanahuwataala.

Sesungguhnya, banyak manfaat jika kita menggunakan peluang dan ruang daripada sambutan Maal Hijrah untuk mengingati sirah Nabi Muhammad Sallallahualaihiwasallam, keperibadiannya yang agung dan risalahnya yang kekal yang dijadikan Allah sebagai rahmat kepada sekalian alam.

Justeru itu, apabila kita bercakap tentang peristiwa-peristiwa ini kita sebenarnya mengingatkan orang Islam mahupun orang bukan Islam tentang nikmat Allah, dan merupakan sesuatu yang disyariatkan dan usaha sedemikian harus dipuji bahkan dituntut.

Antara nikmat Allah, dalam surah al-Ahzab, ayat 9 dan 10, Allah mengingatkan kita tentang perang Khandak atau perang Ahzab ketika suku Quraisy, suku Ghaffan dan sekutu mereka menyerang Nabi Muhammad Sallallahualaihiwasallam, dan sekumpulan orang Islam di rumah mereka. Quraisy mengepung Madinah dan mendirikan pagar bertujuan menghapuskan orang Islam. Namun Allah menyelamatkan orang Islam daripada bencana itu. Allah mengutus angin dan malaikat yang tidak dapat dilihat oleh manusia. Allah mengingatkan mereka tentang peristiwa itu. Ia bermakna Allah mewajibkan kita mengingati nikmat tersebut.

Contoh lain, dalam surah al-Maidah, ayat 11, Allah mengingatkan mereka tentang tindakan orang Yahudi Bani Qainuqa yang berazam untuk membunuh Nabi Muhammad Sallallahualaihiwasallam dengan merancang tipu daya. Namun, perancangan Allah lebih pantas dan tepat.

Dalam konteks kehidupan seharian, sewajarnya kita menjadikan “hijrah” sebagai landasan untuk bergerak ke arah yang lebih baik sama ada daripada segi amalan, kemasyarakatan, ekonomi, politik atau apa sahaja.

Kerajaan Negeri Selangor sekarang, dengan kemampuan yang ada, sedang melaksanakan usaha-usaha untuk meningkatkan ekonomi dan tahap kehidupan rakyat negeri Selangor yang kita kasihi ini menerusi pelbagai program, skim dan insentif.

Rakyat pelbagai kaum dari usia bayi hingga usia emas, golongan pelajar, golongan belia, golongan kurang upaya, golongan wanita, ibu tunggal dan pesara diberi bantuan dan tunjuk ajar agar mereka dapat berhijrah atau berdikari untuk menjalani dan menikmati kehidupan yang lebih baik.

Dengan cara ini, Kerajaan Negeri Selangor yakin golongan rakyat sasaran akhirnya dapat memperbaiki diri daripada dibelenggu kedaifan ilmu dan kepayahan dalam usaha mengharungi kehidupan seharian.

Usaha Kerajaan Negeri Selangor sekarang adalah sejajar dengan sabda Rasulullah Sallalahualaiwasalam yang bermaksud; “Jika seseorang di antara kamu pada tengah hari mengambil kayu di belakangnya, sehingga dia dapat bersedekah sebahagiannya dan mencegah daripada meminta-minta maka yang demikian adalah lebih baik baginya daripada meminta-minta kepada orang lain sama ada diberi atau tidak kerana tangan yang di atas adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah…”

Akhir kata, marilah kita sama-sama meningkatkan kecintaan kepada Allah dan Rasulnya dengan mentaati perintah Allah dan suruhannya dalam usaha memperbaiki diri di sepanjang tahun 1435 Hijriah.

Wassalamulaikum Warahmatullahitaala Wabarakatuh.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION