Selangorkini
SELANGOR

PKNS bakal lahir 200 usahawan peruncitan

pkns-usahawan

SHAH ALAM 1 NOV : Program keusahawan ‘Retail 200’ bakal dilaksanakan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) selaras dengan hasrat melahirkan usahawan berdaya saing dan memiliki ketahanan mental dan fizikal yang tinggi.

Program keusahawanan itu bakal melahirkan 200 peruncit berdaya tahan di pasaran, seterusnya mampu menempatkan diri mereka di kompleks perniagaan berkelas tinggi yang akan dilaksanakan, dalam tempoh terdekat.

Pengurus Bahagian Pembangunan Usahawan PKNS, Azilah Arshad, berkata usahawan termasuk yang baru akan menjalani latihan selama dua tahun sebelum ditempatkan di kompleks perniagaan terutamanya milik PKNS dan di Datum Jelatek.

“Kita akan lengkapkan diri mereka dengan ilmu keusahawanan dan dididik dengan ketahanan fizikal serta mental untuk membiasakan diri berniaga di tempat bertaraf tinggi. Kita juga tidak mahu ada budaya berniaga ala kadar sahaja,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya mensasarkan tempoh dua tahun untuk melatih dan melahirkan usahawan dengan kriteria yang dikehendaki kerana usahawan akan diberi latihan yang sesuai dengan bidang peruncitan dan mendapat khidmat nasihat percuma daripada konsultan berpengalaman yang dilantik PKNS.

“Kita juga sedang menimbang untuk meletakkan mereka secara sementara di kompleks perniagaan milik PKNS sebagai sebahagian daripada modul latihan.

“Kita harap usaha ini akan membantu mereka menempatkan diri di kompleks terpilih selepas tamat tempoh latihan. Calon peserta perlu melalui ujian kompetensi bagi mengukur daya ketahanan mereka,” katanya. -NFN-

 


Pengarang :