Selangorkini
NASIONAL

Plagiat : Teresa gesa tindakan ke atas Ridhuan Tee

Oleh : AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR 21 NOV – Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi serta Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) digesa mengambil tindakan plagiat terhadap pensyarah, Dr Ridhuan Tee Abdullah.

Gesaan itu dibuat Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan Senator Dr Ariffin Omar dalam satu sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

TERESA KOKTeresa berkata, beliau kesal dengan tindakan kementerian dan UPNM kerana tidak mengambil berat berkenaan aduan yang dibuat Ketua Pemuda MIC, Vel Paari, pada 8 Mac lalu dan dalam ucapan beliau ketika sesi Dewan Rakyat, pada 7 November lalu.

“Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi serta universiti perlu mementingkan kualiti, prestasi akademik juga tindak tanduk pensyarah di universiti tempatan.

“Selain itu, pihak bertanggungjawab perlu mengambil berat segala aduan terhadap anggota akademik tidak berkualiti dan berperangai tidak betul di institusi pengajian tinggi tempatan khususnya universiti awam,” katanya.

Teresa mendedahkan bukti plagiat Ridhuan Tee dalam kertas projek bahasa Inggeris untuk memenuhi ‘Kursus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK4), Kumpulan Pensyarah Gred DS 51 Siri 1/2010, pada 24 Mei hingga 4 Jun 2010’

Ridhuan TeeRidhuan Tee didapati menyalin artikel asal Dr Airil Yasreen Mohd Yassin dalam laman sesawangnya ‘Airil Semetok’ termasuk kesalahan tatabahasa dalam artikel berkenaan dan difahamkan tulisan itu menyumbang kepada kenaikan pangkat beliau daripada pensyarah kanan kepada Profesor Madya di UPNM.

Sementara itu, Senator Dr Ariffin yang juga bekas pensyarah UPNM menyatakan beliau pernah mengajukan soalan berkenaan plagiat di Dewan Negara.

Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi dalam jawapannya memaklumkan, mereka memandang serius perkara berkenaan selain terdapat peruntukan pelucutan ijazah atas salah laku plagiat dan penipuan akademik di bawah Seksyen 73, Perlembagaan Universiti.

Selain itu, peruntukan hukuman kepada sesiapa melakukan kesalahan yang boleh mencemarkan nama universiti termasuk plagiat dan penipuan penyelidikan di bawah Kaedah Tatatertib Pelajar dan Akta Badan Badan Berkanun (Tatatertib dan Surchaj) 2000.

-NFN-


Pengarang :