PR perlu menang 135 kerusi Parlimen dalam PRU-14 | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang


PR perlu menang 135 kerusi Parlimen dalam PRU-14

Berdasarkan persempadan sekarang, parti-parti Pakatan Rakyat perlu menetapkan sasaran untuk memenangi 45 kerusi parlimen bagi setiap satu parti dalam pilihanraya umum berikutnya untuk meraih majoriti 48 kerusi

Berdasarkan persempadanan sekarang, pertempuran untuk menawan Putrajaya dalam PRU14 akan bergantung pada keputusan di 40 kerusi yang memiliki perbezaan undi tipis – 51 darinya berada di tangan Barisan Nasional dan 29 milik Pakatan Rakyat.

Jika kerusi yang memiliki perbezaan undi sebanyak lebih 55% dalam PRU13 dianggap sebagai kerusi selamat, bererti BN mempunyai 82 kerusi selamat dan Pakatan Rakyat pula 60 kerusi selamat.


Dalam PRU13, Pakatan Rakyat memenangi undi popular tetapi gagal menawan Putrajaya kerana Barisan Nasional berjaya membentuk kerajaan persekutuan dengan kelebihan kerusi – iaitu sebanyak 133 kerusi, berbanding 89 kerusi yang dimenangi Pakatan Rakyat.

Jika Pakatan Rakyat memenangi 23 lagi kerusi dalam PRU13, PR membentuk majoriti mudah dengan 112 dari 222 kerusi.

Untuk PRU14, selain mengekalkan 89 kerusi parlimen sedia ada, Pakatan Rakyat perlu menggandakan sasarannya, iaitu untuk merebut bukan hanya 23 tetapi 46 dari 51 kerusi yang dimenangi BN dengan majoriti tipis agar Pakatan Rakyat boleh memenangi 135 dari 222 kerusi parlimen, iaitu dengan majoriti sebanyak 48 kerusi – dengan setiap parti Pakatan Rakyat memiliki jumlah kerusi yang sama, iaitu PKR, PAS, dan DAP, setiap satunya memenangi 45 kerusi parlimen.

Pada masa ini, DAP mempunyai 38 ahli parlimen, PKR 30 dan PAS 21. Bererti DAP perlu mendapatkan tujuh lagi kerusi parlimen, PKR 15 kerusi lagi dan PAS 24 kerusi lagi.

Saya merasa sasaran ini berada dalam jangkauan, memandangkan PAS telah memenangi 27 kerusi parlimen dalam pilihanraya umum tahun 1999 – iaitu ketika Barisan Alternatif baru dibentuk – iaitu hampir empat kali ganda lebih banyak berbanding hanya tujuh kerusi yang dimenanginya dalam pilihanraya umum 1995.

Untuk PRU14, PAS tidak perlu meningkatkan jumlah kerusinya sebanyak empat kali ganda, kerana ia cuma perlu meningkatkan bilangan kerusi kepada 45 dari 21 kerusi parlimen yang telah dimenanginya dalam PRU13.

Prestasi parti-parti Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum tahun 2008 dan 2013 menunjukkan ketiga-tiga parti komponennya mempunyai kekuatan asas masing-masing.

Jika kita sanggup terus memperjuangkan matlamat patriotik bersama, iaitu untuk menyelamatkan negara ini daripada korupsi, kronisme, penyalahgunaan kuasa, eksploitasi golongan miskin dan tidak tidak bernasib baik tanpa mengira kaum, agama, atau latar daerah, ekstremisme, serta sikap tidak bertolak-ansur, dan menggantikan semua itu dengan urus tadbir yang baik, integriti awam, kebertanggungjawaban, sikap hormat terhadap demokrasi dan hak asasi manusia, kesederhanaan dan toleransi, maka tiada sebab untuk kita meragui masa depan negara ini atau keputusan yang memihak kepada kita dalam PRU14.

Khamis lalu, bekas duta kanan negara ini, Tan Sri Razali Ismail mengingatkan bahawa Malaysia akan hilang kelebihan ekonominya jika politik terus dikuasai oleh unsur perkauman dan perkauman yang melampau seperti yang sering dibangkitkan oleh kawan-kawannya dari luar negara kebelakangan ini berikutan timbulnya beberapa isu yang boleh menyebabkan perpecahan dalam negara ini.

Benar sekali kenyataan beliau. Retorik dan politik ekstrem dan tidak toleran berada pada tahap paling mengejutkan dan memecah-belahkan dalam sejarah negara ini sejak enam bulan selepas PRU13 walaupun Perdana Menteri bercakap tentang penyatuan nasional dan mempromosikan Global Movement of Moderates.

Pertarungan untuk PRU14 telah bermula dan beberapa pihak telah mengungkapkan kebimbangan bahawa wang pembayar cukai akan dirompak untuk mengisi tabung perang Umno/BN bagi mendanai perang siber menerusi media sosial menentang Pakatan Rakyat.

Selepas PRU13 pada 5 Mei lalu, perang siber menentang parti-parti Pakatan Rakyat tidak surut. Baru-baru ini saya dituduh sebagai anggota Illuminati, kononnya sebuah pertubuhan rahsia di peringkat dunia yang dianggotai oleh beberapa elit berkuasa dan berpengaruh dan bertujuan menguasai dunia secara politik dan ekonomi.

Setelah membaca tuduhan tersebut dalam blog-blog Umno, saya terpaksa mencari maklumat di Internet tentang perkara yang disebut sebagai konspirasi Illuminati itu.

Baru-baru ini, seorang wanita Melayu datang menyapa saya di lapangan terbang ketika saya sedang menunggu beg. Beliau meminta maaf daripada saya. Saya kehairanan dan bertanya sebabnya.

Menurut beliau, sepanjang 18 tahun pertama dalam hidupnya, beliau membenci saya sebagai seorang yang rasis dan jahat, kerana yang diberitahu kepada beliau ialah saya anti-Melayu dan anti-Islam. Tetapi setelah beliau menerjunkan diri ke dalam masyarakat dan mendapat akses kepada maklumat, beliau sedar bahawa segala yang diberitahu kepada beliau tentang saya sebelum ini sama sekali tidak benar.

Episod tersebut seharusnya menjadi sumber inspirasi kepada semua kita, sama ada dalam DAP, PKR, atau PAS, kerana semua kita menjadi sasaran pembohongan dan pendustaan yang bertujuan memecah-belahkan parti-parti dan pimpinan PR.

Revolusi maklumat akan membantu Pakatan Rakyat memerdekakan minda yang cuba diracuni dan dipasung oleh juru propaganda dan cybertrooper Umno/BN.

Parti-parti Pakatan Rakyat perlu terus teguh di atas jalan politik yang sedang ditempuh ini sehinggalah kita berjaya membawa perubahan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, daerah, atau kelas, demi mencapai Impian Malaysia bersama – Malaysia untuk semua rakyat Malaysia; Malaysia yang menikmati demokrasi, urus tadbir yang baik, dan keadilan sosioekonomi dan di dalamnya semua warga Malaysia boleh memenuhi potensinya demi kebaikan semua warga dan demi keagungan negara.

Ucapan Ketua Parlimen DAP dan Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang di majlis makan malam amal Pakatan Rakyat, Empire Hotel Ballroom, Subang Jaya, pada 12 Nov 2013, 7.30 malam:

(Lim Kit Siang)

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION