Selangorkini
NASIONAL

PR selar tindakan Bung Mokhtar hina rakyat

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 18 NOV : Pakatan Rakyat (PR) menyelar tindakan Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Mokhtar Radin yang bertindak menghina rakyat selepas diserang bertali arus daripada penyokong pembangkang menerusi laman Twitternya.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, menyifatkan Bung sebagai tidak beradab dan samseng apabila mengeluarkan kata kesat antaranya ‘bodoh’, ‘pelacur’ dan ‘beruk’.

Katanya, tindakan Bung itu menyerlahkan budaya pemimpin Barisan Nasional (BN) yang sememangnya tidak ada hubung kait antara agama, politik, akhlak dan perbahasan.

khalid samad mugshot“Ini bukan kali pertama beliau (Bung) mengeluarkan kata kesat seperti itu dan BN juga tiada usaha untuk menasihatkan adab serta tingkah laku Bung itu,” katanya ketika di hubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Bung diserang menerusi komen di laman Twitternya kerana mengoyakkan usul PR apabila Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mengemukakan usul berkenaan potongan gaji lima penasihat di bawah Jabatan Perdana Menteri, di persidangan Dewan Rakyat, pada 14 Oktober lalu.

Bung bertindak demikian kerana mahu ‘membalas dendam’ ekoran pemimpin PR bangun mengoyakkan usul penggantungan Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran, pada sesi pagi hari yang sama.

Khalid berkata, tindakan Bung itu tidak boleh disamakan dengan PR kerana usul penggantungan Surendran adalah tidak mengikut prosedur yang ditetapkan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, berkata beliau tidak terkejut dengan tindakan Bung kerana pemimpin itu pernah bertindak demikian dengan mengeluarkan kata kesat dan menghina semua golongan.johari abdul parlimen 01

“Inilah contoh pemimpin BN yang terlalu angkuh hingga tidak ada batasan hormat kepada orang lain. Mereka lihat rakyat mudah diperbodohkan dalam pelbagai isu, contohnya kes penipuan dan rasuah,” katanya.

Johari berkata, tindakan angkuh itu adalah gambaran sebenar pemimpin BN yang menganggap mereka tidak akan jatuh kerana terlalu lama memerintah negara sehingga tidak ada satu kuasa merampas pentadbiran itu.

-NFN-


Pengarang :