Selangorkini
SELANGOR

Projek pembangunan Sungai Klang dibiayai penuh syarikat swasta

Oleh : SIRAJ MOHD ZAINI

SHAH ALAM 25 NOV : Projek pemuliharaan dan pembangunan Sungai Klang akan dibiayai sepenuhnya pihak swasta melalui Public/Private Partnership (PPP) atau Inisiatif Kewangan Swasta.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata sehingga kini tiga syarikat disenarai pendek iaitu TSS-MAKOEngineering Sdn Bhd, WessexWater Sdn Bhd/I Berhad Consortium dan GJA Enjineering&Construction Sdn Bhd.

sidang dun 21-11-13 - 2Abdul Khalid berkata, syarikat berkenaan perlu mengemukakan cadangan pembangunan harta tanah untuk dimajukan dengan pertimbangan kerajaan negeri sebagai balasan daripada projek berkenaan.

“Projek ini akan dibiayai sepenuhnya pihak swasta melalui syarikat yang dilantik untuk membiayai kos pemuliharaan dan pembersihan sungai. Sebagai pulangan, mereka akan memajukan pembangunan harta tanah yang setimpal,” katanya.

Abdul Khalid (PKR-Pelabuhan Klang ) berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Dr Yaakob Sapari (PKR-Kota Anggerik) di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri sedang membuat kajian kebolehsanaan pemuliharaan dan pembersihan Sungai Klang yang memberi fokus kepada tiga perkara utama iaitu pemuliharaan dan pembangunan terhadap penyaluran air mentah, pengawalan banjir kilat serta pembangunan semula sungai.

Sehubungan itu, Abdul Khalid berkata, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) memutuskan untuk melantik Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) bagi menguruskan syarikat yang terbabit dengan projek itu.

“EXCO bersetuju melantik KDEB sebagai syarikat yang akan memanggil sesiapa berminat menyertai program ini, ramai yang berminat tetapi saya khuatir hanya untuk mendapatkan projek namun tidak ada kuasa kewangan untuk melaksanakannya. Oleh sebab itu, kita mengambil masa dan akan mengambil peluang untuk kita melaksanakan projek yang sangat besar ini,” katanya.

Pada masa sama, Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri menggazetkan kawasan persisiran sungai Klang dan setiap pembangunan harus mendapat kelulusan bagi memberi tumpuan kepada usaha pemuliharaan sungai itu.

“Kita sudah memberi notis dan ia akan diambil kerajaan, selain ada pampasan akan diberikan jika kita perlukan tanah ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku).

-NFN-


Pengarang :