Selangorkini
SELANGOR

PSRA 2013 : pelajar lulus meningkat kepada 85.6 peratus

OLEH : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 13 NOV: Pelajar lulus dalam Peperiksaan Sekolah Rendah Agama (PSRA) di Selangor meningkat kepada 85.6 peratus daripada 36,077 calon pada 2013 berbanding tahun sebelumnya 81.7 peratus.

Jais-elektrikPengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Marzuki Hussin, berkata keputusan itu meningkat sebanyak 3.9 peratus dengan keputusan kelulusan berdasarkan subjek turut menunjukkan peningkatan dalam semua subjek.

“Calon yang memperolehi gred Mumtaz turut meningkat 1 peratus, Jayyid Jiddan 2.7 peratus dan Jayyid juga 1 peratus,” kata Marzuki ketika mengumumkan keputusan itu.

Kata beliau, bagi kategori sekolah rendah agama (SRA) cemerlang, Sekolah Rendah Agama Tebuk Murfad diumumkan sekolah cemerlang dengan kelulusan 100 peratus.

Sekolah Integrasi Tengku Ampuan Fatimah Batu Belah, Klang yang memperolehi kelulusan 96.1 peratus pula merupakan sekolah cemerlang bagi kategori SRA Integrasi.

Bagi kategori Kelas Agama dan Fardhu Ain Integrasi (KAFAI) pula dimenangi KAFA Integrasi Nur Addin, Taman Putra dengan kelulusan 100 peratus.

Manakala bagi kategori swasta dimenangi Sri Irsyadiyah, Gombak juga memperolehi 100 peratus.

Daerah Hulu Langat pula diumumkan mencatat kelulusan tertinggi dengan 86.8 peratus, diikuti Sepang (86.7 peratus) dan ketiga daerah Klang dengan 86.4 peratus.

Hadiah dan sijil disampaikan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi Selangor, Dr Halimah Ali.

-EZY


Pengarang :