SELANGOR

Reformasi Agihan Kuasa

sim-tze-tzimKUALA LUMPUR 7 NOV : Malaysia perlu melaksanakan desentralisasi kuasa atau reformasi total pada peringkat pengagihan kuasa dalam usaha menjadikan kerajaan lebih cekap.

Ahli Parlimen Bayan Baru (DAP), Sim Tze Tzin, berkata proses desentralisasi membolehkan kuasa diagihkan dengan lebih adil antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Sebagai contoh di Amerika Syarikat, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dikutip kerajaan tempatan, bukannya kerajaan pusat.

“Begitu juga di negara jiran Indonesia yang melaksanakan ‘Big Bang Policy’, desentralisasi kuasa kerajaan pusat kepada kerajaan tempatan,” katanya ketika sesi perbahasan Bajet 2014 di Sidang Parlimen malam tadi.

Tze Tzin berkata, kuasa yang seharusnya berada di bawah kerajaan negeri dipindahkan kepada kerajaan pusat, antaranya tanah dan air, sejak merdeka.

Pemusatan kuasa itu bukan sahaja menyebabkan pelbagai masalah atau isu tempatan tergantung tetapi terus meningkatkan hutang negara.

“Malaysia mempunyai 35 menteri dan 26 timbalan menteri, tetapi Australia dengan kadar penduduk yang agak sama hanya mempunyai 19 menteri sementara Obama hanya memerlukan 15 menteri sahaja.

“Keadaan pemusatan kuasa ini menyebabkan bajet mengurus menjadi besar dan melonjak sehingga 82.4 peratus, berbanding perbelanjaan pembangunan pada kadar 17.6 peratus sahaja,” katanya.

-NFN-


Pengarang :