SAMM desak henti bina Empangan Baram musnah kehidupan | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang


SAMM desak henti bina Empangan Baram musnah kehidupan

Oleh : Badrul Hisham Shaharin

Pada 11 – 13 November lepas SAMM bersama sekutu telah memasuki belantara Baram bagi menyatakan solidariti kepada masyarakat setempat yang bangkit menghalau pekerja dan jentera yang terlibat projek pembinaan empangan Baram dan membina kem bagi mengawal jalan masuk ke tapak projek tersebut.

Rombongan ini juga bagi tujuan menghantar bahan bantuan seperti makanan asas dan lain – lain bagi membantu mereka yang meninggalkan kampung halaman bagi berkhemah mempertahankan hak.


baramProjek tersebut diteruskan tanpa berbincang dengan orang ramai yang terlibat. Jika empangan ini dibina maka berpuluh perkampungan akan tenggelam dan beribu keluarga terpaksa berpindah dan hilang penempatan serta sumber pendapatan. Tidak ada sebarang perbincangan serius dibuat melibatkan penduduk oleh pihak berkuasa mahupun kontraktor.

Menurut penduduk setempat yang ditemui wakil rakyat kawasan tersebut (BN) menyatakan bahawa projek tersebut masih diperingkat perancangan namun ternyata ia penipuan kerana papan tanda projek sudah dinaikkan dan jentera berat sudah mula masuk dan membuat kerja.

Hilang sabar penduduk bangkit dan menghalau semua jentera dan pekerja keluar dari kawasan tapak pembinaan projek. Mereka kemudian membina 2 tapak perkhemahan bagi menghalang dua laluan masuk ke kawasan yang akan dibina empangan itu.

Ada yang berjalan kaki selama beberapa hari bagi hanya untuk hadir bersama penduduk kampung lain bagi sama menyatakan bantahan dan menghalang pembinaan empangan ini. Oleh kerana keadaan kem yang tak sempurna dan bekalan sumber yang terhad minggu lepas seorang warga tua telah meninggal dunia di kem ‘blocked’ Bt. 15.

Kezaliman terhadap penduduk setempat berganda selain dizalimi kerana projek ini menceroboh hidup mereka lebih malang lagi semua usaha dan kegigihan penduduk ini telah digelapkan oleh media.

Menurut Sdr. Philip, yang bertindak menyelaras bantahan yang juga antara aktivis aktif dalam organisasi “Selamatkan Sungai Sarawak” menyatakan pihak terbabit telah bertindak melanggar banyak undang – undang dan prosedur contohnya tidak wujud langsung laporan EIA (kajian kesan alam sekitar) dilakukan sebelum memulakan projek.

Bagi SAMM projek Empangan besar seperti ini jelas hanya memusnahkan alam sekitar dan hanya bersifat mewujudkan projek bagi mengalirkan wang kepada pihak berkepentingan semata.

Apa keperluan empangan besar lagi ? Negara sudah punya rizab lebihan tenaga yang banyak dan Bakun sendiri projek gajah puteh sehingga terpaksa memikirkan untuk menyalurkan tenaga ke semenanjung semula melalui kabel bawah tanah, maka apa keperluan satu lagi empangan di Baram ?

Kerajaan Negeri Sarawak di bawah pemerintahan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud dituduh mencabul hak asasi Orang Asal Sarawak secara konsisten dan berterusan melalui pemusnahan alam sekitar secara terancang di negeri itu.

Ini bukan perkara baru sebelum ini pembinaan empangan janakuasa hidroelektrik di Bakun, Murum dan kini di Baram yang menyaksikan orang-orang asal dipaksa untuk tinggal di penempatan semula, kerajaan negeri Sarawak turut dituduh merampas tanah milik orang asal untuk pembalakan haram, menyebabkan limpahan air sungai akibat dari pembinaan tiga empangan mega di Batang Ai, Bakun dan Murum dan sembilan lagi empangan di Baram dan daerah-daerah lain.

Sudahlah pembalakan berleluasa memusnahkan persekitaran yang kemudian diparahkan dengan kegiatan memindahkan monokultur minyak kelapa sawit secara berleluasa ke kawasan orang asal dan pencemaran di persisiran pantai Sarawak yang dihasilkan oleh industri-industri peleburan di kawasan industri (SCORE).

Sesungguhnya pemusnahan alam sekitar secara terancang dan dahsyat ini telah membawa kesan yang tidak dapat dibaikpulih kepada komuniti bumiputera Orang Asal.

Perlu disedari orang pribumi inilah yang telah melindungi hutan sejak zaman-berzaman sebagai sumber makanan, kawasan ladang kecil-kecilan, tempat penempatan (rumah panjang), tempat penyembahan dan tanah pengebumian mereka

Kehidupan mereka dan adat resam mereka bergantung kepada tanah-tanah mereka serta hutan-hutan yang tidak diteroka. Tanah adalah jiwa orang asal.

Komuniti Orang Ulu (kenyah, kayan dan Penan) sejak Oktober 23 telah mendirikan khemah ‘kem blocked’ bagi menghalang kerja-kerja pembinaan Empangan Baram daripada terus dijalankan.

Mereka, secara aman, telah meminta para pekerja di Empangan Baram untuk meninggalkan kawasan tersebut. Para pekerja empangan telah memenuhi permintaan mereka dan meninggalkan lokasi pembinaan secara aman. Kerja-kerja pembinaan Empangan Baram yang dilakukan telah dihentikan.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION