KENYATAAN MEDIA

Selangor beri setengah bulan bonus kepada kakitangan

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengumumkan pemberian setengah bulan bonus kepada semua 15,643 kakitangan kerajaan negeri sebagai penghargaan di atas kerja keras untuk memajukan negeri Selangor.

Beliau berkata, pembayaran bonus ini akan dibuat pada Januari 2014 melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM14, 821, 252.

Beliau berkata, kerajaan Selangor berkemampuan membayar bonus kepada kakitangannya kerana peningkatan hasil negeri sebanyak 16% kepada RM1.9 bilion setakat 27 November 2013 berbanding anggaran awal sebanyak RM1.630 bilion.

Ini bermakna sepanjang tahun 2013, kakitangan kerajaan Selangor telah mendapat satu setengah bulan termasuk bonus Hari Raya satu bulan yang telah diberikan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri raya tahun ini.

“Saya harap pemberian ini akan digunakan secara cermat dan menjadi insentif untuk kita semua bekerja lebih kuat lagi untuk kemakmuran negeri Selangor serta rakyat.

“Saya ulangi apa yang saya katakan ketika membentang Belanjawan 2014 agar kakitangan kerajaan secara beransur-ansur dapat menerima konsep kenaikan gaji dan pemberian bonus berdasarkan kecemerlangan prestasi berasaskan kecekapan dan keberkesanan selari dengan standard dan amalan terbaik antarabangsa,” kata Menteri Besar.

Dikeluarkan oleh: Sekretariat Akhbar Pejabat MB Selangor


Pengarang :