Selangorkini
SELANGOR

Selangor hasrat tubuh Akademi Bola Sepak

Oleh : Lizawati Madfa

KUALA LANGAT 16 NOV : Kerajaan Negeri berhasrat menubuhkan Akademi Bola Sepak Selangor bagi melahirkan atlet bola sepak yang berkemahiran tinggi dalam usaha memartabatkan sukan bola sepak negeri itu.

Dr yunus pic mza1Exco Belia dan Sukan, Dr. Ahmad Yunus Hairi, berkata pelan jangka panjang itu masih dalam perancangan dan bergantung kepada bajet Kerajaan Negeri yang akan diumumkan pada minggu hadapan.

Menurutnya, rancangan mewujudkan akademi itu juga bukan sekadar bertujuan memberi peluang kerjaya bola sepak kepada golongan remaja dan belia.

Malah ia juga bakal membuka peluang dalam bidang-bidang berkaitan seperti kejurulatihan, keusahawanan pakaian sukan dan sebagainya.

“Ini boleh dikatakan sebagai satu langkah mewujudkan industri sukan itu sendiri, iaitu sesuatu yang besar dengan banyak peluang untuk direbut di dalamnya.

bola selangor“Jadi, jika tiada halangan dan segalanya berjalan lancar, insyaAllah Akademi Bola Sepak Selangor ini dapat direalisasikan,” kata beliau.

Ahmad Yunus berkata demikian ketika menjawab soalan berkenaan rancangan Kerajaan Negeri untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Selangor dalam satu sesi dialog bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Belia Selangor.

Majlis yang diadakan di Pusat Latihan Awam Selangor (PLAS) di Morib pagi tadi turut dihadiri Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor dan penceramah jemputan, Prof. Dr. Azimi Hamzah (Universiti Putra Malaysia).

Selain isu bola sepak negeri, Ahmad Yunus turut dihujani soalan mengenai peranan dan fungsi pertubuhan dan NGO belia dalam merealisasikan rancangan-rancangan pembangunan negeri.

“Kita akan melibatkan NGO belia ini dalam rancangan pembangunan Selangor kerana kita sedar ramai pemimpin hebat pun lahir daripada pertubuhan dan NGO belia.

“Mungkin kita akan contohi modus Skimsel, pinjaman tanpa faedah diberi kepada individu yang membentuk kumpulan dan kita akan panggil NGO untuk perbincangan lebih lanjut,” kata Ahmad Yunus.

Terdahulu, beliau merasmikan Karnival Selangorku Pantai Morib 2013 sempena Tahun Melawat Kuala Langat 2013 yang turut dihadiri Adun Morib, Hasnul Baharudin.

-EZY


Pengarang :