Selangorkini
SELANGOR

Pergiat usaha tingkat kutipan hasil negeri

Oleh : Afeeqa Afeera,

SHAH ALAM, 22 NOV : Kerajaan Selangor akan melaksanakan usaha berterusan bagi meningkatkan kutipan hasil negeri dengan menekankan prinsip ketelusan, keupayaan dan kebertanggungjawaban dalam semua urusan.

sidang dun 21-11-13 - 1Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim, berkata antara usaha yang dilaksanakan adalah mewujudkan Jawatankuasa Pengurusan Tunai Kerajaan Negeri untuk membantu negeri menguruskan lebihan tunai dengan lebih efisyen.

Katanya, pendekatan melalui kutipan cukai tanah turut dipergiatkan melalui pelaksanaan Operasi Bersepadu Mengutip Hasil Tanah (Ops Kutip) dengan kerjasama Perbendaharaan Negeri Selangor, Pejabat Daerah, Pejabat Tanah dan Galian Selangor dan Bahagian Teknologi Maklumat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

“Kerajaan negeri terutamanya melalui Pejabat Daerah/Tanah sentiasa berusaha meningkatkan kutipan cukai tanah melalui beberapa kaedah iaitu mengenal pasti serta mengasingkan semua hak milik (tertunggak) yang bermasalah agar tindakan susulan dapat diambil selain menambah kaedah pembayaran di kaunter pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kerajaan negeri juga berusaha menangani tunggakan hasil cukai tanah dengan menubuhkan Jawatankuasa Kerja Mengurangkan Tunggakan Cukai Tanah untuk melaksanakan kutipan tunggakan cukai tanah secara holistik melibatkan penunggak tegar dan penyelesaian hak milik yang terlibat dengan permasalahan tanah di semua Pejabat Daerah/Tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan lisan daripada Ng Tien Chee (DAP-Balakong) berhubung langkah yang diambil untuk mengukuhkan ekonomi negeri semasa sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini. hari ini.

Teng berkata, kerajaan negeri turut mewujudkan pasukan Taskforce Mengurangkan Tunggakan Cukai Tanah di empat Pejabat Daerah/Tanah iaitu Petaling, Klang, Gombak dan Hulu Langat untuk menangani secara khusus masalah tunggakan cukai tanah daripada hak milik bermasalah.

-EZY


Pengarang :