Selangorkini
SELANGOR

Sektor pembuatan nilai tambah perlu diberi penekanan

Oleh : Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 20 NOV : Selangor perlu memberi penekanan terhadap sektor pembuatan yang mempunyai nilai tambah dan membabitkan penggunaan teknologi serta kepakaran tinggi bagi meningkatkan pelaburan dalam juga luar negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (DAP-Kampung Tunku), Lau Weng San, berkata corak pelaburan berasaskan buruh sudah tidak sesuai bagi memastikan Selangor terus menjadi negeri unggul dalam pembangunan ekonomi negara.

Katanya, perubahan profil pelaburan di Selangor diperlukan untuk memastikan negeri itu terus menjadi pilihan pertama pelabur.

lau weng sang“Salah satu usaha untuk merangsang ekonomi negara adalah dengan merangsangkan aktiviti perniagaan di peringkat akar umbi seperti penjaja, penjual nasi lemak dan peniaga kecil-kecilan.

“Bukan sahaja infrastruktur dan kemudahan di tempat ini perlu dinaik taraf, malahan kerajaan juga harus memikirkan apakah cara untuk menarik lebih ramai pelanggan ke lokasi terbabit,” katanya.

Weng San berkata demikian ketika perbahasan Belanjawan Selangor Tahun 2014 peringkat dasar di Sidang Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sektor pembuatan harus diberi suntikan jiwa baru supaya dapat memberi sumbangan lebih besar kepada pembangunan ekonomi Selangor.

“Pihak eksekutif bercita-cita menjadikan Bukit Beruntung sebagai bandar automobil kerana terdapat beberapa syarikat pembuat kereta dan kemasukan industri kecil dan sederhana (IKS) berkaitan di kawasan itu.

“Oleh itu, untuk mempertingkatkan profil pelaburan Selangor melalui sektor automobil, pihak eksekutif harus mempunyai rancangan jangka panjang bagi menarik lebih banyak pelaburan berteknologi tinggi ke Bukit Beruntung.

“Jika Selangor hendak menonjolkan imej sebagai destinasi pelaburan, maka pihak eksekutif perlu melipat gandakan usaha yang sedia ada,” katanya.

-NFN-


Pengarang :