SELANGOR

Selangor sasar lebih 15,000 unit rumah mampu milik menjelang 2021

Oleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM 25 NOV : Selangor menganggarkan 15,251 unit rumah mampu milik membabitkan 38 projek yang masih boleh ditawarkan kepada pembeli, menjelang 2021.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar negeri, Iskandar Abdul Samad, berkata tawaran itu hanya akan dibuka kepada pembeli selepas projek berkenaan memperoleh permit iklan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

06Katanya, tiga projek perumahan mampu milik membabitkan 1,682 unit siap dibina kerajaan negeri dan pemaju swasta, manakala tiga lagi projek membabitkan 469 unit sedang dalam pembinaan.

“Pihak Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) sudah menawarkan pembelian tiga projek rumah mampu milik yang sudah siap di Bukit Botak (Selayang), Seksyen 3 Bandar Baru Bangi dan Bandar Sungai Long, Kajang kepada 1,682 pembeli yang layak.

“Peratusan tawaran rumah mampu milik yang siap juga adalah 100 peratus. Bagaimanapun, kerajaan negeri masih mempunyai 15,251 unit rumah mampu milik yang boleh ditawarkan sehingga tahun 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Hasbullah Mohd Ridzwan (PAS-Gombak Setia) berhubung status rumah mampu milik di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Rumah mampu milik di Bukit Botak yang mempunyai keluasan antara 850 hingga 2,200 kaki persegi ditawarkan dengan harga jualan serendah RM99,000 seunit, manakala di Seksyen 3 Bandar Baru Bangi berkeluasan antara 700 hingga 800 kaki persegi dijual pada harga RM60,000 hingga RM90,000 seunit.

-NFN-


Pengarang :