Selangorkini
KENYATAAN MEDIA

MB : Selangor serah tawaran akhir RM9.65 bilion kepada 4 konsesi air

Kerajaan Negeri Selangor, melalui anak syarikatnya, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) telah mengeluarkan tawaran akhir berjumlah RM9.65 billion untuk membeli empat syarikat konsesi air.

Surat-surat tawaran telah dihantar semalam kepada empat syarikat air; Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd, Konsortium Abbas Sdn Bhd, Puncak Niaga Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd.

Tawaran itu hasil susulan beberapa siri perbincangan antara pegawai-pegawai daripada Kerajaan Negeri dan Kementerian Tenaga, Tenaga Hijau dan Air (KeTTHA) pada 18 Oktober 2013 dan 13 November 2013 di mana kedua-dua pihak telah bersetuju pada dasarnya mengenai keperluan untuk menubuhkan industri air secara holistik di Selangor.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim berkata tawaran itu adalah tepat pada masanya kerana Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Abdul Razak dan Menteri KeTTHA, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili telah menyatakan sokongan untuk menyatukan industri air dalam surat bertarikh 19 Jun 2013 dan 9 September 2013.

“Ini juga sejajar tarikh akhir iaitu Disember 2013 untuk menyelesaikan rundingan yang ditetapkan oleh Menteri KeTTHA. Kami berharap para pemegang saham syarikat-syarikat ini akan menerima tawaran yang akan memberi pulangan menguntungkan .

“Jika pemegang saham merasakan bahawa mereka berhak mendapat jumlah yang lebih, mereka boleh meminta untuk dibawa ke timbang tara antarabangsa. Kami berharap boleh memecahkan kebuntuan rundingan kerana Kerajaan Negeri sudah bersedia dengan rancangan pengambilalihan ini,” kata Menteri Besar .

Empat syarikat itu mempunyai 14 hari untuk menerima tawaran KDEB yang bermaksud mereka mesti memberi jawapan selewat-lewatnya jam 5 petang pada 4 Disember 2013.

Surat tawaran itu antara lain menetapkan bahawa tawaran KDEB untuk membeli ekuiti semua empat syarikat yang memberi pulangan sebanyak 12% setahun dikira sehingga 31 Disember 2012; tidak dikompaun dan dengan potongan bagi mana-mana pembayaran dividen yang terdahulu.

Tawaran itu juga menyatakan bahawa KDEB akan menyelesaikan semua hutang berkaitan air tertunggak oleh empat syarikat termasuk bon dan pinjaman komersial serta pinjaman kerajaan yang berkaitan.

Satu siasatan menyeluruh dan terperinci akan dijalankan ke atas syarikat konsesi tujuh hari dari tarikh penerimaan tawaran itu.

Kerajaan Negeri Selangor komited untuk menubuhkan industri air secara holistik bagi menyediakan perkhidmatan yang cekap pada tarif yang berpatutan kepada lebih 5 juta pengguna air di Selangor , Putrajaya dan Kuala Lumpur.

DIKELUARKAN OLEH
SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO MENTERI BESAR SELANGOR


Pengarang :