KENYATAAN MEDIA

Selangor teruskan tradisi Belanjawan Berimbang untuk 2014

Oleh Tan Sri Khalid Ibrahim

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Dewan Negeri Selangor terutama Speaker Puan Hannah Yeoh kerana memudahkan pembentangan Belanjawan 2014 yang bertemakan “Belanjawan Berhemat dan Berimpak Tinggi, Maslahat Rakyat”.

Sepertimana yang saya bentangkan di dalam Dewan, Belanjawan Negeri Selangor 2014 berjumlah RM1.85 bilion yang merupakan jumlah tertinggi dalam sejarah negeri Selangor. Selain daripada itu, kita juga umumkan rancangan penggunaan rizab negeri berjumlah RM430 juta bagi membiayai pembangunan untuk rakyat Selangor.

Ini bermakna kerajaan Selangor bersedia untuk membelanjakan RM2.28 bilion di mana RM1.055 bilion atau 46.3% adalah untuk pembangunan manakala RM1.225 bilion atau 53.7% untuk pengurusan.

Penggunaan rizab ini dapat dilakukan setelah simpanan negeri mencapai tahap optimum melebihi perbelanjaan pengurusan beberapa kali ganda.

pembentangan-bajet-2014Bermula tahun hadapan, semua perincian mengenai pengunaan rizab mestilah dibentangkan dan mendapat kelulusan Dewan Negeri Selangor dan ini amat penting agar rakyat mendapat jaminan bahawa dana rizab digunakan sebaik mungkin.

Saya juga telah memaklumkan sidang Dewan bahawa Kerajaan Negeri akan memperkenalkan amalan menyemak belanjawan negeri setiap enam bulan agar dapat memantau keseimbangan antara perbelanjaan dan pendapatan supaya perbelanjaan luar kemampuan tidak berlaku.

Kita juga akan memperluaskan budaya pengurusan kewangan yang unggul dengan menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Khas dianggotai oleh golongan profesional untuk mengkaji struktur kos bagi perolehan, perbekalan dan perkhidmatan.

Satu Jawatankuasa Penambahbaikan Pentadbiran, Agensi dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) juga akan ditubuhkan antara lain untuk menyemak segala aspek berkaitan proses, prosedur, sistem dan modal insan untuk diselaraskan dengan standard dan amalan antarabangsa.

Adalah amat jelas melalui pembentangan belanjawan kali ini, Kerajaan Pakatan Rakyat mahu meneruskan satu tradisi pengurusan kewangan yang pragmatik, berhemah, telus dan bertanggungjawab.

Tradisi sebegini perlu sentiasa dipupuk dan dipelihara agar generasi akan datang dapat mewarisi satu sistem pengurusan dan pentadbiran yang holistik untuk pembangunan ekonomi yang lebih mampan.

Saya amat berharap Dewan Negeri Selangor akan menyaksikan perbahasan yang professional dan bermutu tinggi di kalangan semua ADUN – termasuk dari pihak pembangkang dengan tumpuan ke atas polisi dan idea.
*
Sekian, Terima kasih.

 


Pengarang :