SELANGOR

MBPJ anjur Seminar Pengangkutan Bandar

OLEH : SIRAJ MOHD ZAINI

PETALING JAYA 22 NOV : Dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada penduduk, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan menganjurkan seminar bertajuk ‘Urban Transportation In PJ’ bertempat di Dewan Banquet MBPJ pada 3 Disember 2013.

Seminar berkenaan merupakan permulaan kerjasama diantara MBPJ dan Institut Jurutera Malaysia (IEM) yang menandatangani satu Perjanjian Persefahaman (MOU) yang membolehkan MBPJ menangani tiga isu utama iaitu pengangkutan bandar, banjir kilat dan masalah denggi.

datin-alinahDatuk Bandar Petaling Jaya, Datin Paduka Alinah Ahmad, berkata seminar itu dianjurkan untuk memberi penerangan, pendedahan kepada pengguna mengenai pengangkutan bandar serta mewujudkan asas pembelajaran bagi penglibatan penduduk dalam merangka penyelesaian kepada masalah pengangkutan di Petaling Jaya.

Katanya, perkongsian maklumat dan pengetahuan oleh IEM diharapkan dapat membantu memberi penerangan kepada pegawai teknikal Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Ahli-Ahli Majlis di negeri ini khususnya tentang fungsi dan kepentingan kajian impak lalulintas.

“Perkongsian ilmu dalam program ini akan dikongsi bersama pakar-pakar dari Pulau Pinang, Sabah dan IEM sendiri yang membentangkan beberapa kertas kerja.

“Diakhir program juga akan diadakan forum yang membicarakan hala tuju dan masa depan pengangkutan bandar di Petaling Jaya ” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat penuh MBPJ di ibu pejabatnya, di sini hari ini.

Seminar sehari itu akan dirasmikan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Kim.

Penyertaan seminar itu terbuka kepada 350 jemputan sahaja yang terdiri daripada Ahli-Ahli Majlis dari seluruh PBT di Selangor, pegawai-pegawai teknikal PBT Selangor, JKR Selangor, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) serta Jawatankuasa Persatuan Penduduk dan Rukun Tetangga di Petaling Jaya.

-EZY


Pengarang :