SELANGOR

Skim SEROJA sasar 50 pangsapuri dalam tempoh setahun

Oleh : SIRAJ MOHD ZAINI

SHAH ALAM 21 NOV : Skim Rondaan Keselamatan dan Kejiranan Negeri Selangor (SEROJA) anjuran kerajaan negeri mensasarkan 50 pangsapuri menyertai program itu dalam tempoh setahun.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Samad, berkata mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) bersetuju supaya kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta setahun atau RM5 juta dalam tempoh lima tahun akan datang.

iskandar samad dunKatanya, peruntukan itu akan digunakan untuk menyediakan peralatan rondaan, program keselamatan peringkat pangsapuri, program latihan serta bantuan ihsan bagi peserta yang terbabit dengan kemalangan atau kecelakaan ketika melakukan rondaan.

“Sasarannya adalah untuk mewujudkan SEROJA di 50 buah pangsapuri setahun atau 250 pangsapuri untuk lima tahun,” katanya ketika menjawab pertanyaan Amirudin Shari (PKR-Batu Caves) ketika Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, semalam.

Katanya, peserta SEROJA tidak dilindungi syarikat insuran tetapi perlindungan diberikan melalui peruntukan yang disalurkan.

“Pembayaran bantuan ihsan akan dibayar kerajaan negeri melalui peruntuk itu. Lima pangsapuri kos rendah terpilih untuk projek perintis SEROJA bagi mengkaji keberkesanan dan impak ke atas kesedaran penduduk dalam hal keselamatan.

Pangsapuri yang terpilih adalah Pangsapuri Sri Era, Desa Latania (MBSA), Pangsapuri Puchong Permai Blok A27-A30 (MPSJ), Pangsapuri Mawar & Chempaka (MPK), Pangsapuri Laksamana Jaya A (MPS) dan Pangsapuri Megah Villa (MPSp).

Iskandar berkata, peruntukan RM35,000 diperuntukkan di bawah Jawatankuasa Tetap (STANCO) Pengurusan Bangunan dan RM10,000 daripadanya digunakan untuk membeli peralatan seperti cota, wisel dan lampu suluh, manakala RM25,000 untuk penganjuran program keselamatan iaitu RM5,000 setiap pangsapuri.

Skim SEROJA diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri selaras dengan Manifesto Pakatan Rakyat Selangor bertujuan meningkatkan keselamatan rakyat, pada 19 Jun lalu.

-NFN-


Pengarang :