Selangorkini
SELANGOR

SMS fitnah hina Islam, Ahli Parlimen Kapar buat laporan polis

NORHAYATI UMOR

KLANG 10 NOV : Ahli Parlimen Kapar, G Manivanan sudah membuat laporan polis berkenaan Sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang memfitnah beliau ada mengeluarkan kenyataan yang didakwa menghina Islam.

Adun kapar G ManivananBeliau berkata, pihaknya membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Daerah Klang Utara dan polis kini sudah mengesan nombor telefon terbabit didaftarkan atas nama seorang perempuan warga Indonesia.

“Saya syaki SMS ini dihantar oleh orang terdekat dengan saya yang tidak berpuas hati.

“Sebelum ini, saya banyak menerima ugutan untuk mencederakan saya, tetapi saya tidak hiraukan bagaimanapun, isu membabitkan agama adalah isu yang serius,” katanya ketika ditemui Selangor Kini di Majlis Sambutan Maal Hijrah DUN Selat Klang, di sini.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana individu yang tidak berpuas hati dan bertindak menjatuhkan reputasinya supaya tampil berjumpa dengannya agar dapat menyelesaikan masalah.

Manivanan berkata, beliau turut menafikan dakwaan bahawa ada mengeluarkan kenyataan menghina Islam dalam ucapannya di sebuah tokong baru-baru ini seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Kata Manivanan, beliau langsung tidak berucap dalam majlis terbabit.

Katanya, tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah melalui sistem pesanan ringkas (SMS) itu menyebabkan orang ramai salah faham.

“SMS itu dihantar baru-baru ini di sekitar Parlimen Kapar terutamanya di DUN Sementa.

“Ia menyasarkan kepada Ketua Kampung dan Imam Masjid, jadi mereka meminta saya memberi penjelasan,” katanya.

Manivanan menjelaskan beliau tidak pernah menghina mana-mana agama sebaliknya menjalinkan silaturahim tanpa mengira agama.

“Saya menjunjung agama Islam sebagai agama rasmi dan saya kagumi agama Islam.

“Malah, daripada zaman sekolah saya sering ke masjid untuk belajar bersama-sama rakan dari agama Islam,” katanya.

EZY


Pengarang :