Selangorkini
NASIONAL

SPAD digesa henti susahkan pemandu teksi

Oleh : Mohd Ezli Mashut,

SHAH ALAM 12 NOV : Badan Bertindak Pemandu Teksi Bermeter (BBPTB) menuntut agar Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Hamid Albar supaya menghentikan agenda yang menyusahkan pemandu teksi di negara ini.

amran jan Pengerusinya, Amran Jan, berkata teksi di bawah program Teksi 1 Malaysia (TEKS1M) yang beroperasi sebulan lalu, mengundang pelbagai persoalan daripada segi penampilannya.

Kata beliau, teksi di bawah program ini tidak seperti Teksi Bajet biasa yang mana nama pemilik permit akan dipaparkan pada kenderaan itu.

“Jangan terus jadikan industri perkhidmatan teksi sebagai ‘pusat penyembelihan’ warga pemandu teksi. BBPTB dimaklumkan pemandu teksi TEKS1M, permit itu sebenarnya adalah kepunyaan SPAD,” kata Amran.

Kata beliau, pemandu teksi terpilih perlu memohon pinjaman bank disokong SPAD dengan kadar sewa beli kenderaan Exora Bold adalah sebanyak RM800 sebulan tempoh tujuh tahun.

“Pemandu perlu memohon semula permit TEKS1M yang baru, pastinya bagi kenderaan yang baru juga.

“Tiada kepastian samada kenderaan Exora Bold yang sudah tamat tempoh bayarannya itu, akan menjadi hakmilik pemandu ataupun SPAD,” kata Amran dalam satu kenyataan.

Amran berkata, ramai pemandu ditawarkan permit TEKS1M yang menghidu cadangan ‘penghambaan moden’ terbaru ini, mengambil keputusan memulangkan kembali tawaran permit TEKS1M oleh SPAD.

Maklumbalas dari beberapa jurujual kenderaan menasihati pemandu teksi agar berhati-hati dengan kereta Exora Bold kerana kos penyelenggaraannya yang tinggi.

Kata beliau, pemandu tidak akan mampu ‘memelihara’ kenderaan ini dalam jangka masa lama sekalipun bayaran bulanannya murah.

Senario ini menunjukkan pemandu teksi yang mengidamkan permit sendiri ‘terperangkap’ serta ‘dipergunakan’ oleh SPAD untuk melunaskan pembayaran kenderaan, disamping melariskan penjualan kereta keluaran Proton.

“BBPTB bimbang, semua kerja keras serta niat murni mereka akan terhalang jika Pengerusi SPAD, mengunakan suruhanjaya ini sebagai alat menjayakan agenda politik kepartian di samping kepentingan peribadinya,” kata Amran.

-Ezy

teski1


Pengarang :