SELANGOR

SPRM : Projek NFC dianugerah syarikat tidak berkeupayaan

NFC - SPRM Grafik

SHAH ALAM 6 NOV : Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berpendapat bahawa projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) dianugerahkan kepada syarikat yang tidak memiliki kemampuan teknikal dan kewangan.

SPRM menyatakan bahawa konflik kepentingan di antara menteri kabinet dan syarikat yang memenangi kontrak tersebut tidak diisytiharkan kerana keputusan itu tidak dibincangkan di kabinet.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, berkata Kementerian Kewangan perlu menyediakan satu garis panduan standard, jelas serta telus berhubung pinjaman mudah bagi mengelakkan persepsi negatif atau keraguan.

Katanya, Kementerian Kewangan perlu menyediakan kriteria jelas menentukan jumlah sesuatu pinjaman mudah serta memastikan permohonan dibentangkan di peringkat Kabinet terlebih dahulu untuk kelulusan.

“Kerajaan perlu membuat kajian secara mendalam untuk memilih syarikat yang benar-benar kompeten bagi menjalankan projek NFC sama ada daripada aspek kewangan mahupun pengalaman.

“Untuk itu, proses ‘due diligence’ perlu dilaksanakan terlebih dahulu terhadap syarikat yang bakal dipilih,” kata Abu Kassim dalam satu kenyataan.

SPRM mengemukakan Laporan Tahunan SPRM 2012 dan Ulasan Tahunan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR2012 kepada Jawatankausa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) di Bangunan Parlimen, hari ini.

Tambah Abu Kassim, peranan, tanggungjawab dan terima rujukan perlu ditetapkan sebelum pelaksanaan projek yang perlu dimaktubkan sebagai sebahagian daripada kontrak pelaksanaan.

Kata beliau, Kerajaan perlu menyediakan garis panduan mengenai peranan dan tanggungjawab Ahli Lembaga Pengarah yang mewakili kerajaan dalam syarikat berkaitan kerajaan/syarikat milik kerajaan/syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) bagi memastikan mereka mengamalkan Profesionalisme.

“SPRM mencadangkan supaya semua anggota pentadbiran mengisytiharkan kepentingan sekiranya ahli keluarga terdekat mereka mendapat kemudahan pinjaman daripada kerajaan

“Memandatorikan setiap projek kerajaan yang melibatkan rundingan terus, pinjaman mudah, geran dan lain-lain kemudahan kewangan dibentangkan kes mesyuarat Kabinet terutamanya yang melibatkan anggota pentadbiran, keluarga atau sekutu mereka,” kata beliau.

Kata beliau kerajaan perlu mewujudkan agensi yang dipertanggungjawab sebagai agensi penyelaras secara khusus dan rasmi di kalangan agensi yang terlibat dalam projek berimpak tinggi.

Agensi yang dipertanggungjawabkan ini perlu memantau dan mengawal selia perkembangan dan perjalanan keseluruhan projek

“Mewujudkan satu standard dokumentasi apabila satu kelulusan dasar dibuat terutama yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat

“Membuat kajian pasaran secara komprehensif terhadap projek sebelum ia dijalankan bagi mengelakkan sebarang kesulitan semasa pelaksanaan,” kata beliau.

Jelas beliau, kajian ini termasuk menjalankan penilaian dan pengurusan risiko. Kajian yang dibuat dapat mengelakkan kerajaan daripada mengalami kerugian

“Perincian dan klausa perjanjian pinjaman yang dibuat bagi pihak kerajaan perlu menjaga dan melindungi kepentingan kerajaan kerana dana yang dikeluarkan adalah daripada duit rakyat,” kata beliau.


Pengarang :