SELANGOR

Suee Lim : Kerajaan Pusat perlu selesai segera masalah nelayan

ng suee lim

SHAH ALAM 6 NOV : Isu mogok nelayan di seluruh negara wajar diselesaikan dengan kadar segera Kerajaan Pusat demi kebaikan rakyat dan golongan nelayan, tegas Adun Sekinchan, Ng Suee Lim.

Suee Lim berkata, mogok dilancarkan nelayan akan menyebabkan kerugian jutaan ringgit yang pasti memberikan kesan buruk terhadap pengeluaran ikan negara.

Beliau bimbang sekiranya isu mogok tidak diselesai segera, harga pasaran ikan akan melambung naik, kehidupan rakyat turut terjejas.

“Kerajaan Pusat digesa mengkaji semula akta tersebut melalui kabinet atau parlimen , supaya membatalkan akta yang tidak saksama sebelum hasil tangkapan semakin merosot, menjejaskan pengusaha sektor dan industri perikanan negara,” kata beliau ketika dihubungi TVSelangor.

Kira-kira 500 pemilik bot dan nelayan di seluruh Selangor terus melancarkan mogok untuk tidak turun ke laut, sebagai bantahan terhadap penguatkuasaan baru yang dikenakan ke atas mereka, sejak 1 November lalu.

Ini termasuk 200 pemilik bot dan nelayan di Sekinchan, 160 pemilik bot dan nelayan di Pulau Ketam ,dan kira-kira 100 pemilik bot dan nelayan di Tanjong Karang.

Mulai 1 November , Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mengharamkan penggunaan bot pukat tunda yang menggunakan saiz mata di bawah ukuran 38 milimeter (mm) bagi menyelamatkan spesies marin dan benih ikan, selain pukat juga dipendek serta diperkecilkan dengan ukuran tertentu.

Tambah Suee Lim, sekatan sebegini akan menjejaskan pendapatan nelayan dan industri negara, lagipun nelayan tidak berani turun ke laut kerana bimbang tindakan penguatkuasaan.

“Tindakan Kerajaan Pusat mengurangkan subsidi minyak bot membebankan golongan nelayan, setiap bot dianggar terpaksa menanggung RM3,000 sehingga 4,000 kos setiap bulan,” katanya.

EZY


Pengarang :