SELANGOR

Tahap selenggara sampah seliaan PBT makin baik

Oleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM 25 NOV : Tahap penyelengaraan sampah bagi semua 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor dilaporkan semakin baik kerana terdapat pemantauan dan penguatkuasaan berterusan.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Datuk Teng Chang Khim, berkata kerajaan negeri sentiasa memastikan kerja kutipan sampah dan pembersihan awam di kawasan PBT dilakukan pekerja kontraktor yang dilantik serta dibahagikan mengikut kawasan tertentu.

Beliau berkata, ia disebabkan pelbagai faktor antaranya terdapat pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah di tempat yang bukan sepatutnya sehingga terjadi tapak pembuangan sampah haram.

sidang dun 21-11-13 - 1“PBT akan memilih kontraktor yang memenuhi syarat dan kelayakan untuk menjalankan perkhidmatan kerja kutipan sampah dan pembersihan awam supaya masalah tidak timbul pada masa akan datang.

“Selain itu, PBT juga mempunyai pasukan sokongan jika terdapat aduan atau kecemasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Sulaiman Razak (BN-Permatang) berhubung tahap penyelenggaraan sampah di kawasan PBT pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Sementara itu, Teng berkata, jumlah kos penyelenggaraan serta pengurusan sampah di semua PBT kini mencecah RM343.77 juta membabitkan bayaran gaji dan penggunaan peralatan dengan Majlis Perbandaran Subang Jaya mencatat kos paling tinggi iaitu RM69 juta.

“Kos pengurusan sampah dan penyelenggaraan untuk Majlis Bandaraya Petaling Jaya ialah RM60.2 juta, Majlis Bandaraya Shah Alam (RM50.5 juta); Majlis Perbandaran Selayang (RM40 juta); Majlis Perbandaran Ampang Jaya (RM38 juta); Majlis Perbandaran Kajang (RM20 juta) dan Majlis Perbandaran Klang (RM20.1 juta).

“Manakala Majlis Daerah Hulu Selangor pula RM19.6 juta; Majlis Daerah Kuala Langat (RM17.6 juta); Majlis Perbandaran Sepang (RM7.9 juta); Majlis Daerah Kuala Selangor (RM3.7 juta) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (RM161,000),” katanya.

-NFN-


Pengarang :