Selangorkini
SELANGOR

Teng: Selangor tiada rancangan naikkan cukai pintu

Oleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM 29 NOV : Kerajaan Negeri tidak mempunyai perancangan untuk menaikkan kadar cukai pintu di negeri itu dalam masa terdekat.

teng chang kim  pc dun 1 jul 01Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim, berkata kenaikan cukai taksiran itu tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana ia akan menekan rakyat berikutan
bebanan kos sara hidup yang tinggi.

Bagaimanapun katanya, kadar cukai pintu akan tetap dinaikkan jika keadaan memaksa, namun berjanji ia akan dibuat secara berperingkat dan tidak terlampau tinggi.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ada alasan menaikkan cukai pintu tetapi dari segi pengiraannya bagi saya tidak wajar sekali.

“Di Selangor, kita kena ambil kira kenaikan kos untuk pihak berkuasa tempatan (PBT), jadi kita tidak boleh mengharapkan cukai pintu tidak naik, tetapi buat masa ini belum ada perancangan.

“Bila sampai tahap perlu, kita terpaksa menaikkan kadar itu mungkin setahun atau lima tahun dari sekarang, saya tidak boleh jangka kadarnya,” katanya kepada pemberita di lobi Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini hari ini.

Katanya lagi, kerajaan negeri belum menerima sebarang permintaan atau cadangan daripada mana-mana PBT untuk menaikkan kadar cukai setakat ini.

“Kita akan lihat situasi mereka, kalau tiada permintaan kami tidak akan kaji,” katanya.

Dalam pada itu, Teng turut menafikan Pakatan Rakyat (PR) Selangor pernah berjanji untuk menurunkan cukai taksiran dalam janji manifesto 2008 seperti yang didakwa pimpinan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata perkara itu sering dijadikan alat oleh BN untuk menyerang pimpinan PR sejak dulu lagi.

“Kita juga prihatin terhadap golongan berpendapatan rendah maka kita beri diskaun kepada pemilik pangsapuri kos rendah dan golongan yang tidak berkemampuan,” katanya.

-EZY


Pengarang :