Selangorkini
NASIONAL

Tiba masa SPRM diberi kuasa pendakwaan

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 11 NOV : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberikan kuasa pendakwaan bagi mengimbangi tindakan atau keputusan Jabatan Peguam Negara yang dilihat semakin hilang kredibiliti.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, berkata kegagalan demi kegagalan Peguam Negara (AG) dalam mengendalikan kes besar seperti pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaaribuu dan penipuan membabitkan bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik menuntut satu badan ‘check and balance’.

azmin-pc-DNS-01Katanya, SPRM akan mengambil alih pendakwaan bagi memastikan kes yang dibawa itu kuat dan kukuh untuk dikemukakan dalam mahkamah apabila Jabatan Peguam Negara gagal.

“Tidak seperti sekarang apabila dalam sistem, seorang manusia boleh menentukan sama ada sesuatu kes itu perlu dibawa ke mahkamah atau tidak, perlu dibuat rayuan atau tidak, maka kita perlukan SPRM sebagai tujuan ‘check and balance’,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Razali Ibrahim bahawa kerajaan tidak akan memberi SPRM kuasa untuk mendakwa kerana boleh membawa kepada penyalahgunaan kuasa.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, beliau menyifatkan kenyataan terbabit sebagai amat dengkel dan tidak bertanggungjawab, selain menegaskan Pakatan Rakyat (PR) akan terus mendesak SPRM diberikan kuasa pendakwaan dalam usaha menegakkan sistem keadilan di Malaysia.

“Senarai kegagalan Jabatan Peguam Negara jelas menunjukkan bahawa agensi itu tidak boleh lagi disandarkan bagi mengemukakan satu pendakwaan yang kuat di mahkamah.

“Kerajaan perlu memandang serius cadangan ini iaitu memberi SPRM kuasa pendakwaan, jika Barisan Nasional dan Umno benar-benar ikhlas menjunjung tinggi kedaulatan undang-undang,” katanya.

-NFN-


Pengarang :