SELANGOR

Umno-BN lambak Sg Limau dengan hiburan melampau

samm2

SHAH ALAM 3 NOV: Umno-BN kekal memandang rendah mentaliti pengundi muda dengan tindakan melambakkan topi keledar percuma, jamuan, wang dan hiburan melampau bagi meraih undi golongan itu dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Limau.

Tindakan itu dianggap sebagai menghina mentaliti anak muda, kerana golongan itu lebih memerlukan jaminan masa depan yang lebih baik berbanding soal hiburan dan pemberian jangka pendek semata-mata.

Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin, berkata perkara ini dibuktikan apabila pelbagai program diskusi anak muda yang lebih bersifat keilmuan dan santai mendapat sambutan hangat dari golongan anak-anak muda Sungai Limau.

“Taktik kempen BN masih tak berubah dengan lambakan hiburan melampau setiap hari yang tak bawa mesej apa pun, wang, lambakan topi keledar percuma dan lain-lain sampaikan dah jadi kata-kata gurauan orang di sini, bukan kepala sahaja pakai topi keledar, kepala lutut pun boleh pakai.

“Memang kita akui hiburan dekat dengan jiwa anak muda, tetapi bukanlah dilambakkan setiap hari kerana anak muda semakin sedar yang mereka perlukan adalah jaminan masa depan,” kata Badrul Hisham ketika dihubungi TV Selangor.

Antara program anjuran SAMM sepanjang kempen PRK Sg Limau berlangsung termasuklah ‘Himpunan Ryder Muda’ yang memfokuskan soal keselamatan ketika menunggang motorsikal dan isu-isu semasa serta ‘Santai Ryder Muda : Dialog Hak Anda dan Polis yang membincangkan hak orang ramai dari perspektif undang-undang.

Badrul Hisham berkata, sehingga kini program dijalankan SAMM mendapat sambutan baik dari golongan muda termasuk mereka yang dilabel sebagai ‘Mat Rempit’ di kalangan masyarakat.

“Kita harus dekati golongan ini, kerana bukan satu dosa menjadi ‘Kaki Motor’ tetapi kena dengan caranya,” ujar beliau lagi.

Badrul Hisham turut melahirkan kepercayaan golongan pengundi muda di Sungai Limau mampu membuat pilihan terbaik untuk masa depan mereka.

“SAMM datang sini bukan dengan arahan siapa mereka perlu undi tetapi kita minta anak muda fikirkan dengan jelas kepentingan mereka seperti belanjawan baru-baru ini yang tidak mempedulikan kelompok muda dan pembaziran terus berlaku.

“Malangnya BN datang sini bukan dengan jawapan tetapi dengan kontena topi keledar percuma, wang, jamuan dan hiburan melampau tetapi sebenarnya anak muda mahukan golongan mereka diberdayakan,” kata beliau lagi.

EZY


Pengarang :