SELANGOR

Umum peruntukan ketika pilihan raya beri kesan buruk

PRK DUN Sungai Limau

SHAH ALAM 2 NOV : Pengumuman pelbagai projek ‘mee segera’ pembangunan dan menaiktaraf infrastruktur adalah bukti kerakusan dan ketamakkan pemimpin Umno-BN setiap kali menjelang pilihan raya.

Mantan Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, ‘wang’ dan pemimpin Umno sememangnya tidak dapat dipisahkan kerana ia sudah menjadi amalan pemimpin di peringkat tertinggi sehingga ke akar umbi.

Katanya, pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meluluskan peruntukan RM1 juta bagi tujuan baikpulih bangunan kepada sebuah sekolah Cina di DUN Sungai Limau sebagai tidak masuk akal.

“Sebuah sekolah Cina ada 18 orang, diluluskan RM1 juta untuk baikpulih bangunan, Umno sudah tak relevan untuk jadi pemimpin,” katanya dalam satu forum ‘Apa Khabar Orang Kampung’di Kuala Langat semalam.

Muhammad berkata, rata-rata pemimpin Umno merupakan kontraktor didakwa lebih mementingkan wang ringgit berbanding khidmat yang diberikan kepada rakyat.Muhd Taib mugshot

Hal sama turut dibangkitkan Adun Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar yang berkata, pendidikan tidak sepatutnya dipolitikkan dan dijadikan modal untuk meraih undi ketika pilihan raya, tetapi malangnya ia tetap berlaku.

“Perkara yang sama turut berlaku sebelum ini, kaum Cina dan India terutamanya digula-gulakan dengan janji-janji bantuan pendidikan setiap kali adanya pilihanraya.

“Adakah peruntukan dan bantuan pendidikan hanya diumumkan ketika BN mahu memenangi sesuatu pilihanraya dan mendapat sokongan rakyat sahaja?,” soalnya dalam satu kenyataan media.

Dr Xavier berkata, sebarang peruntukan dan pembangunan melibatkan pendidikan seharusnya mengambil kira matlamat jangka pendek dan kesan jangka panjang jika ia dilaksanakan.

“Keadaan ini adalah membimbangkan dan tidak hairanlah  risiko jurang pencapaian sistem pendidikan Malaysia dengan negara lain semakin lebar.

“Ini terbukti melalui pentaksiran antarabangsa terbaharu yang dikeluarkan oleh Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS),” katanya.

Dr Xavier berkata, berdasarkan keputusan TIMSS 2011, 35 peratus dan 38 peratus murid Malaysia gagal mencapai tahap kemahiran minimum dalam Matematik dan Sains, iaitu kenaikan dua hingga empat kali ganda berbanding tujuh dan 13 peratus pada 1999.

“Keputusan tidak memberangsangkan juga dicatatkan oleh pelajar Malaysia dalam keputusan pada kitaran pentaksiran untuk PISA 2009.

“Kedudukan negara terletak di kelompok ketiga terbawah dalam kalangan 74 negara, iaitu dibawah pencapaian purata antarabangsa dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD),” jelasnya lagi.

EZY


Pengarang :