Selangorkini
SELANGOR

Usus babi jadi makanan ikan sebelum dijual

Oleh : Nazli Ibrahim

RAWANG 15 NOV: Seorang pemilik perusahaan pemprosesan babi tanpa lesen menjadikan organ dalaman babi seperti usus sebagai makanan ternakan ikan air tawar miliknya sebelum dipasarkan, selain memproses daging haiwan itu.

Ikan air tawar yang terdiri daripada patin, talapia dan keli itu diternak dengan menggunakan kaedah sangkar di lombong dan kolam berhampiran.

Penemuan itu dibuat dalam satu operasi bersepadu yang diketuai Ketua Unit Tindakan Khas Pejabat Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), C Paramasivam, di Jalan Kundang, Kampung Sungai Bakau, di sini, semalam.

OLYMPUS DIGITAL CAMERAParamasivam berkata, pengusaha terbabit diberikan notis 30 hari sebelum premisnya dikenakan tindakan meroboh, selain dikenakan kompaun atas pelbagai kesalahan.

“Kami akan memohon untuk merobohkan premis ini kerana hanya Yang Dipertua sahaja mempunyai kuasa memberikan arahan itu.Selain menghadapi notis meroboh, pengusaha terbabit turut dikenakan enam kompaun berjumlah RM6,000 atas enam kesalahan,” katanya.

Antara kesalahan itu adalah menyimpan daging babi tanpa lesen, tidak mematuhi prosedur penyediaan makanan, membuang tali perut babi ke dalam kolam dan lombong serta tidak mendapatkan imunisasi demam kepialu seperti syarat yang dikenakan terhadap penyedia makanan.

Sementara itu, pengusaha terbabit mendakwa dia hanya memproses babi seperti melapah dan memotong, selepas dihantar pembekal babi untuk dijual di restoran.

Selain itu, Selangor Kini turut difahamkan, air kolam terbabit turut dilepaskan ke Sungai Kundang sebelum mengalir ke Sungai Sembah dan Sungai Selangor yang membekalkan air kepada sebahagian pengguna air negeri itu.

Operasi bersepadu yang bermula jam 9.30 pagi dan berakhir jam 2.30 petang itu membabitkan kira-kira 70 anggota daripada pelbagai jabatan dalaman MPS, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Parit dan Saliran (JPS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Operasi turut dijalankan ke atas dua premis lain iaitu kilang membuat tauhu kering bersebelahan tempat memproses babi berkenaan dan kilang kitar semula tong yang terletak di Taman Perindustrian Puteri Permai.

-NFN-


Pengarang :