NASIONAL

Warga asing terlibat jenayah berat hasil projek IC undi BN

OLEH: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 18 OKT: Adalah tidak mustahil warga asing yang terlibat dalam jenayah berat sejak kebelakangan ini terdiri dari mereka yang memperolehi kad pengenalan melalui projek pemberian kad pengenalan mengundi Barisan Nasional (BN), kata Khalid Abdul Samad.

khalid samad 3Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, projek pemberian kad pengenalan itu melibatkan pemberian mencecah ribuan warga asing sekaligus yang latar belakang mereka dipercayai tidak pernah disiasat.

“Orang yang diberikan kad pengenalan untuk mengundi calon-calon BN juga tidak disiasat latar belakang mereka tetapi dalam proses ribuan kad pengenalan itu mungkin akan ada orang-orang yang cenderung untuk melakukan jenayah atau pernah terlibat dengan jenayah.

“Tidak mustahil warga asing yang melakukan jenayah baru-baru ini juga merupakan pengundi bukan warganegara yang mempunyai kad pengenalan diperolehi dalam projek IC,” kata Khalid kepada Selangor Kini dalam satu temubual selepas menghadiri Majlis Makan Malam Pakatan Rakyat (PR) di Hotel Empire di Subang baru-baru ini.

Tindakan itu menurut Khalid, merupakan tindakan tidak bertanggungjawab BN, semata-mata mahu menang dalam pilihan raya sehingga sanggup mengenepikan implikasi buruk yang terpaksa ditanggung rakyat dan negara ini.

Sebelum ini negara juga dikejutkan dengan beberapa kes berprofail tinggi khususnya kejadian serangan bersenjata api yang dilakukan pengikut ‘Tentera Sulu’.

Dalam kejadian di Lahad Datu itu, penduduk tempatan melaporkan terdapat di kalangan pengganas terbabit berjaya meloloskan diri melalui penyamaran sebagai orang tempatan dengan menunjukkan kad pengenalan yang mereka miliki sebagai bukti.

Malahan ketua pengganas Sulu serta adik ‘Sultan Sulu’ Jamalul Kiram didakwa sebenarnya pernah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah (ADO) di Kudat, Sabah sekitar tahun 1970-an.

Terkini, dua kejadian rompakan bersenjata api melibatkan pengawal keselamatan warga asing, masing-masing melibatkan sebuah bank di Subang dan kedai emas di KL Festival City Mall, Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur turut memiliki kad pengenalan dan memperolehi kebenaran memegang senjata api dari syarikat kawalan masing-masing.

Dalam rompakan bersenjata api di Subang yang melibatkan pengawal keselamatan bank itu sendiri, turut menyebabkan kehilangan nyawa seorang kakitangan bank itu.

-EZY


Pengarang :