Selangorkini
NASIONAL

3 bangunan runtuh di Terengganu dalam tempoh setahun

Oleh : Afeeqa Afeera

KUALA LUMPUR 3 DIS : Sebuah lagi insiden keruntuhan bumbung dilaporkan berlakudi Terengganu yang membabitkan Dewan Canselor Universiti Tati di Kemaman walaupun baru dibina kira-kira setahun lalu.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin, berkata runtuhan yang berlaku semalam adalah kali ketiga dilaporkan berlaku di negeri itu untuk tahun ini.

RajaBahrinKatanya, pengulangan insiden itu dipercayai berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan dan kurangnya kawalan serta pemantauan terhadap kontraktor yang dilantik.

“Dua minggu lepas dalam Dewan Rakyat saya tanya kepada Timbalan Menteri Kerja Raya apa tindakan untuk kontraktor yang menyebabkan keruntuhan ini dan beliau mengatakan mereka yang didapati gagal akan disenarai hitam.

“Tetapi apabila analisa dibuat, saya mendapati kerajaan tetap menggunakan kontraktor sama untuk membina bangunan di Terengganu walaupun sudah disenarai hitam sebelum ini.

“Kalau betul disenarai hitam, kenapa kontraktor sama masih boleh buat projek itu,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kebanyakan kontraktor yang dilantik mempunyai pengaruh besar dan menjalin hubungan baik dengan kerajaan hingga mengakibatkan mereka masih diberi peluang untuk melaksanakan projek walaupun mempunyai rekod buruk.

Katanya, Terengganu mencatatkan lebih 20 bangunan runtuh sejak lima tahun lalu dan malangnya perkara berkenaan tidak dijadikan iktibar oleh kerajaan negeri.

“Laporan Ketua Audit Negara banyak memberi syor kepada pihak kerajan tetapi perkara sama tetap berulang lagi. Setiap kali berlaku keruntuhan, tidak ada apa yang dipelajari dan perkara ini sangat membimbangkan,” katanya.

-NFN-


Pengarang :