Selangorkini
SELANGOR

Program berkhatan percuma sempena cuti sekolah

Oleh : Nazli Ibrahim

LEMBAH JAYA 6 DIS: Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya mengadakan kerjasama dengan Jawatan Kuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) sekitar bagi menganjurkan program berkhatan percuma bagi meringankan bebanan ibu bapa berpendapatan rendah.

ADUN Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz, berkata program yang diadakan sempena musim cuti persekolahan hujung tahun itu berjaya menarik penyertaan lebih 50 kanak-kanak sekitar kawasan berkenaan.

khasim “Kos seorang kira-kira RM160, bermakna jumlah keseluruhan lebih RM8,000 yang dibelanjakan untuk membiayai program ini,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Smart English dan Pintar Matematik Spies D’Village Lembah Jaya, di sini, semalam.

Khasim berkata, pihak penganjur menyediakan kupon yang boleh digunakan di beberapa klinik terpilih sekitar Lembah Jaya dan ia berbeza dengan program berkhatan lain.

“Biasanya, kebanykan program mengadakan majlis berkhatan beramai-ramai tetapi kali ini agak berbeza sedikit, kita berikan kupon kepada ibu bapa peserta untuk pergi ke klinik terpilih pada masa yang sesuai mengikut kelapangan mereka.

“Cara ini lebih mudah kerana mereka boleh pergi ke klinik terpilih mengikut kesesuaian masa sendiri,” katanya.

Selain itu, kaedah yang digunakan juga lebih menjimatkan, sekali gus membuka lebih banyak peluang penyertaan untuk pihak yang ingin mengambil bahagian.

-NFN-


Pengarang :