Selangorkini
NASIONAL

Biaya PERKASA : Najib perlu minta maaf kepada rakyat

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM, 27 DIS: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu meminta maaf secara terbuka kepada rakyat ekoran pendedahan PERKASA bahawa kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) pendesak itu dibiayai Putrajaya.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, berkata jika benar Najib berpegang kuat pada laungan ‘1 Malaysia’, beliau harus mempunyai rasa bersalah menyalah gunakan wang pembayar cukai.

Teresa-KokKatanya, wang pembayar cukai digunakan untuk membiayai kumpulan PERKASA yang terkenal dengan provokasi melampau menyentuh isu perkauman dan keharmonian beragama di kalangan rakyat berbilang kaum.

“Sejak dahulu lagi memang ada ura-ura PERKASA dibiayai Umno bagi menjalankan program NGO ekstremis itu. Akhirnya kebenaran muncul juga apabila Umno dan kerajaan pusat selama ini melindungi PERKASA serta memberi wang yang banyak kepadanya,” katanya dalam status ‘Facebook’ beliau.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pendedahan Setiausaha Agung PERKASA, Syed Hassan Syed Ali bahawa tiga agensi utama kerajaan membabitkanMajlis Keselamatan Negara (MKN), Biro Tatanegara (BTN) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) menyalurkan bantuan kepada pertubuhan berkenaan bagi menjayakan program.

Bagaimanapun, Hassan berkata, bantuan yang disalurkan agensi kerajaan kepada pertubuhan itu tidak banyak berbanding usaha yang dijalankan untuk menarik sokongan golongan Melayu kepada Barisan Nasional (BN).

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjawab kenyataan anggota Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Isa Samad yang tidak yakin dengan kemampuan PERKASA untuk menggantikan Umno dalam membela nasib orang Melayu.

Sementara itu, parti sayap BN, GERAKAN turut menuntut penjelasan di sebalik pembabitan institusi utama kerajaan dengan program PERKASA.

Ketua Pemuda GERAKAN, Tan Keng Liang berkata, BN hanya melemahkan dirinya sendiri apabila bertindak menyalurkan dana kepada kumpulan ‘pengacau’ seperti PERKASA.

Katanya, tindakan itu menjauhkan ramai pengundi daripada BN termasuk golongan Melayu bandar dan kerja kumpulan pendesak Melayu aliran kanan itu juga bertentangan dengan objektif BN.

-NFN-


Pengarang :