Selangorkini
NASIONAL

Biro Kepenggunaan PKR kecam TNB naik tarif elektrik

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 2 DIS : Biro Kepenggunaan PKR mengecam Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kementerian Tenaga Hijau dan Air yang menaikkan tarif elektrik sebanyak 15 peratus.

Pengerusinya, Yahya Sahri, berkata kementerian perlu lebih peka terhadap beban rakyat kerana kos barangan semakin meningkat saban hari.

Katanya, kenaikan tarif elektrik itu akan menyebabkan semua kos perkhidmatan, pembuatan dan perindustrian turut meningkat.

“Kami rasa kesal dan dukacita apabila TNB melalui kementerian bertanggungjawa menaikkan tarif elektrik kerana akan menjadi rungutan rakyat disebabkan semua kos akan melambung tinggi.

“Subsidi gula baru ditarik balik dan kini rakyat dikejutkan dengan kadar elektrik yang tinggi. Sudah pasti rakyat akan mendapat derita baru kerana semua kos akan meningkat,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Yahya berkata, dalam manifesto Pakatan Rakyat jelas menginginkan harga minyak turun bagi memastikan kos keseluruhan menjadi lebih murah.

Beliau berkata, pihaknya mendesak menteri yang terbabit supaya menolak kenaikan dengan mengambil kira derita rakyat.

Putrajaya hari ini mengesahkan kenaikan kadar tarif elektrik sebanyak 14.98 peratus atau 4.99 sen hingga 38.53 sen per kilowatt yang akan berkuatkuasa, pada Januari 2014.

Kenaikan itu diumumkan Menteri Tenaga Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dalam satu sidang media di Parlimen, hari ini.

Pengumuman itu bakal mengundang kemarahan orang ramai berikutan rancangan Putrajaya untuk mengurangkan subsidi minyak bagi pembekal kuasa, pada suku pertama 2014.

-NFN-


Pengarang :