Antara redha & taksub politik di kalangan mahasiwa, anak muda | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang


Antara redha & taksub politik di kalangan mahasiwa, anak muda

Oleh Lizawati Madfa
Gambar Shuaib Ayob

TIDAK dapat dinafikan, masih ada anak-anak muda yang buta politik, terutama mereka yang tinggal di luar bandar.

Ada antara mereka gagal membebaskan diri daripada momokan media arus perdana walaupun terdapat media independan yang bebas seperti Malaysia Kini mahupun The Malaysian Insider.


Lebih menyedihkan, masih ramai tidak berminat mengambil tahu perkembangan isu semasa dan memilih untuk ‘redha’ dengan kezaliman yang berpunca daripada keputusan politik pemerintah.

IMG_1062“Sepatutnya golongan muda perlu mengambil tahu hal politik dan berani bersuara kerana kerajaan yang memerintah adalah daripada rakyat, untuk rakyat.

“Anak muda perlu sedar hari ini terdapat pelbagai masalah yang kita hadapi hasil ketidakcekapan kerajaan.

“Contohnya, apabila pengurusan ekonomi sekarang tidak memuaskan, maka kita juga yang akan hadapi masalah untuk mencari pekerjaan.

“Jadi jangan takut bersuara untuk ‘marah’ kerajaan kerana kitalah ‘bos’ mereka,” kata Samuel Ong Kuo Xian, 19, mahasiswa sebuah institusi pengajian tinggi di Subang.

Beliau antara 30 peserta Program Adun Muda Selangor anjuran Dewan Negeri Selangor (DNS) pada 16 Disember lalu. Speaker Hannah Yeoh dan Exco Selangor, Elizabeth Wong turut sama memantau program itu.

Program julung-julung kali itu sebagai usaha mendidik golongan muda tentang peranan dan tanggungjawab seorang wakil rakyat di samping mendedahkan mereka kepada dunia politik.

adun-muda

Mungkin program itu agak asing di negara ini, namun tidak bagi sesetengah negara luar seperti Australia – pelajar peringkat sekolah rendah lagi diberi peluang berdebat dalam Parlimen.

Sebaliknya – di Malaysia, anak-anak seolah-olah didoktrin untuk ‘menyembah’ sebelah pihak tanpa diberi kebebasan memilih yang menjadi hak setiap warganegara.

“Saya fikir sesuatu perlu dilakukan bagi menjamin demokrasi di Malaysia tidak berkubur dengan sikap pemerintah yang berat sebelah dalam menyampaikan maklumat kepada orang ramai.

“Malah, kami teringin menyaksikan perdebatan secara ilmiah antara Perdana Menteri dengan Ketua Pembangkang mengenai isu semasa.

“Bukankah inilah antara cara negara maju mendidik masyarakat mereka untuk bersikap lebih matang dan berpengetahuan dalam membuat pilihan,” kata seorang lagi mahasiswa yang enggan dikenali.

IMG_0913Namun, untuk menyaksikan perdebatan Datuk Seri Najib Razak dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim umpama menunggu kucing bertanduk.

Sedangkan setiap kali pembentangan Belanjawan Pakatan Rakyat di Parlimen pun, Najib tidak berani bertentang mata dengan Anwar sekalipun bercakap berdegar-degar dalam media arus perdana yang dikuasai mereka.

“Sebenarnya ramai anak muda semakin celik dan cerdik menilai mana intan dan mana kaca. Cuma itulah, masih ramai rakan kami yang kurang pendedahan terutama yang tinggal di pedalaman.

“Rasanya kerja keras perlu dilakukan secara berterusan bagi menjadikan rakyat Malaysia celik politik. Jika tidak, mereka akan terus-terusan ‘bertuhankan’ TV3 dan Utusan,” kata mahasiswa tahun kedua dalam kursus sarjana muda undang-undang itu.

Memang benar.

Sekalipun media sosial seperti facebook atau twitter membuat pendedahan lengkap bukti berdokumen seperti slip bank, resit rasmi, laporan audit dan sebagainya, ada manusia ‘jenis’ taksub TV, Utusan, tidak terbakit kesedarannya.

IMG_0957Bak kata seorang penyair Jerman, Bertolt Brecht: “Orang buta yang paling teruk ialah yang buta politik kerana dia pekak, tidak nampak dan tidak ambil bahagian dalam hal ehwal politik.”

Kata penyair itu, mereka yang buta politik seolah-olah tidak mahu mengambil peduli mengenai kos hidup, harga bijirin, harga tepung, harga sewaan, mahupun kos perubatan sedangkan semuanya bergantung kepada keputusan politik.

Kata Brecht lagi, orang yang buta politik tidak tahu dengan kedunguan sikap berkecuali itu akan menyumbang kepada pelacuran, pengabaian kanak-kanak, kecurian, dan paling teruk ialah menyumbang kepada korupsi dan eksploitasi badan pemerintah.

Maknanya, jika keadaan buta politik berterusan, berhentilah berharap mencapai status negara maju kerana hanya apabila rakyat celik politik barulah sesebuah negara itu akan maju.

Jika tidak, usahlah bermimpi.

* Lizawati Madfa ialah wartawan Selangor Kini

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION