Selangorkini
SELANGOR

DAP komited bantu rakan PR menang dalam PRU14

Oleh : Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 15 DIS : DAP Selangor akan memainkan peranan penting membantu rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) untuk memenangi sokongan di kawasan kalah kepada Barisan Nasional dalam PRU 14 ini.

Teresa-KokPengerusi DAP Selangor, Teresa Kok berkata, ini termasuk Parlimen Hulu Selangor dan Parlimen Kuala Selangor, DUN Bukit Melawati dan Kota Damansara yang pernah dimenangi oleh Pakatan Rakyat dalam PRU 12.

“Kita juga haruslah membantu di kawasan Parlimen yang marginal, seperti Sungai Besar dan Sabak Bernam; dan juga kawasan DUN marginal yang lain seperti Sungai Panjang, Permatang, Kuang dan Dengkil,” kata Teresa dalam ucapannya di Konvensyen DAP Selangor di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, DAP akan bekerja keras bagi memastikan sokongan Melayu diperolehi terutama di kerusi Parlimen dan DUN yang mempunyai 30 peratus pengundi kaum itu.

Ini termasuk Parlimen Puchong, Serdang dan Klang; dan juga DUN, iaitu: Sekinchan, Kuala Kubu Baharu, Teratai, Balakong, Sungai Pinang dan Sungai Pelek.

“Di PRU 13, sokongan DAP di kalangan pengundi Melayu di Selangor adalah kurang daripada 40 peratus. Kita haruslah berusaha bersungguh-sungguh di kawasan dan masyarakat Melayu supaya kita boleh mendapat sokongan pengundi Melayu sebanyak 50 peratus dalam PRU14,” katanya.

Teresa berkata, Pakatan Rakyat Selangor perlu memastikan persempadanan untuk kerusi Parlimen dan DUN diadakan secara adil sebelum PRU 14.

Katanya, pada waktu ini, 10 daripada 15 kerusi Parlimen di Selangor mempunyai jumlah pengundi lebih daripada 100,000 orang, termasuk dua kerusi Parlimen DAP, iaitu Serdang dan Puchong.

Dari segi DUN pula, terdapat 22 kerusi DUN mempunyai jumlah pengundi melebihi 40,000 orang, termasuk 4 kerusi DUN DAP, iaitu Teratai, Balakong, Subang Jaya dan Damansara Utama.

“Kita mesti memastikan bahawa kerusi ditambah telus dan adil di kawasan ini supaya pengundi dan warga di Selangor tidak dipinggirkan dari segi perwakilan di Parlimen dan DUN,” katanya.

 


Pengarang :